Ramai pula mengaku jadi ‘ore Kelate’

Hanya rakyat Kelantan dibenarkan mendulang emas di negeri ini. - Gambar hiasan
Hanya rakyat Kelantan dibenarkan mendulang emas di negeri ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PADA November lalu, kerajaan Kelantan menerusi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengumumkan kebenaran bagi aktiviti mendulang emas di negeri itu.

Mendengar perkataan emas sahaja buat ramai tak keruan. Maklumlah, harga emas sekarang sudah mencecah hampir RM600 segram. Mulalah mereka mencari info bagaimana proses untuk mendulang emas.

Bagaimanapun, pihak yang tidak berkenaan boleh memadamkan terus impian mereka untuk mendulang emas kerana kebenaran ini hanya dikhaskan untuk rakyat Kelantan sahaja.

Kecoh juga di media sosial apabila ramai yang mengaku jadi ‘ore Kelate’ dan berseloroh mahu mencari pasangan dari negeri itu untuk mendapatkan kebenaran mendulang emas.

Malah selepas pengumuman itu juga, pakej kaedah mendulang emas turut laku keras apabila ramai yang berminat mempelajari teknik tersebut.

Namun, aktiviti itu tidak boleh dilakukan sebarangan kerana ada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan kerajaan Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, lesen untuk pendulang emas di tanah kerajaan hanya dibenarkan kepada rakyat Kelantan dengan bayaran RM100 setahun.

Menurutnya, rakyat Kelantan yang berminat dengan aktiviti berkenaan boleh membuat permohonan lesen kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mulai bulan depan.

Mereka yang diberikan lesen juga hanya dibenar menggunakan kaedah tradisional tanpa sebarang alat atau mesin serta mendulang di kawasan yang diwartakan sebagai tanah kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Kawasan mendulang emas yang dikenal pasti juga hanya di empat daerah iaitu Tanah Merah, Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai.

Malah, hasil emas diperoleh nanti perlu dijual kepada pembeli emas berlesen dengan kerajaan negeri kerana pembeli emas berkenaan juga perlu membayar royalti.

Masa untuk mendulang juga ditetapkan pada jam 8 pagi hingga 6 petang dan aktiviti ini tidak dibenarkan pada musim tengkujuh.

Bagaimanapun turut timbul isu adakah pendulang perlu membayar zakat hasil daripada aktiviti mendulang emas ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menerusi Sinar Harian menjelaskan, emas yang diperoleh hasil daripada mendulang tidak perlu mengeluarkan zakat.

Menurut beliau, zakat emas perlu dibuat apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Ujarnya, syarat wajib zakat emas di Kelantan adalah wajib bagi semua emas yang cukup haul (setahun), cukup nisab (85 gram untuk emas simpanan) dan memenuhi syarat wajib zakat (Islam, merdeka, sempurna milik).

Patuh peraturan

Melihat kepada syarat yang dikenakan kerajaan negeri itu, bagi penulis ia disifatkan wajar bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan.

Untuk warga Kelantan, ini boleh dijadikan peluang ekonomi dan sumber pendapatan tambahan terutama bagi masyarakat di kawasan pedalaman.

Dari segi tadbir urus, pendekatan berlesen dan kawalan menunjukkan kerajaan cuba menguruskan sumber mineral dengan lebih sistematik, berbeza dengan aktiviti haram atau lombong haram tanpa kawalan.

Pengeluaran lesen turut membolehkan pemantauan jumlah pendulang, penetapan syarat serta kawalan kebajikan dan urus niaga termasuk pembeli dan harga emas bagi mengelak eksploitasi dan memastikan manfaat ekonomi kembali kepada rakyat.

Namun, dikhuatiri juga jika kawalan longgar, potensi kerosakan alam sekitar dan sosial adalah besar sehingga boleh menyebabkan sungai tercemar, habitat semula jadi rosak, hak masyarakat tempatan terjejas, malah konflik sosial mungkin timbul.

Kerajaan negeri diharap dapat mengawal aktiviti ini agar tidak menimbulkan kesulitan pada masa akan datang.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!