Emas: Pengusaha sedia patuh syarat, lesen baharu

KOTA BHARU - Beberapa pengusaha kedai emas menyatakan kesediaan membeli emas hasil aktiviti mendulang termasuk memohon lesen pembeli emas seperti syarat baharu ditetapkan kerajaan negeri.
Peraih emas, Wan Hafizuddin Wan Rosli, 31, menyokong langkah kerajaan mewajibkan lesen kepada pendulang dan pembeli emas bagi memastikan kawal selia industri lebih teratur.
“Saya setuju dengan dasar baharu ini dan merancang memohon lesen mendulang serta membeli emas.
“Bagaimanapun, saya nak tunggu perincian kaedah dan proses dulu termasuk kadar royalti. Harapnya tidak terlalu tinggi,” katanya yang sudah 12 tahun berkecimpung dalam perniagaan emas.
Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan lesen mendulang dan pembeli emas akan dibuka mulai Januari depan dengan hasil emas diwajibkan dijual kepada pembeli berlesen bagi memastikan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri.
Menurut Wan Hafizuddin, emas mentah Kelantan berkualiti, namun perlu melalui proses pemurnian sebelum mencapai tahap standard 999 kerana lazimnya mengandungi campuran tanah dan bahan lain.
“Emas mentah tak boleh terus dibeli ikut harga 999, biasanya ikut nilai mutu 916 dahulu.
“Emas kena diproses dengan asid untuk buang kotoran dan ketika itu akan berlaku penyusutan nilai,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai emas, Rozlin Yusof, 52, turut menyatakan kesediaan menerima emas dulang, namun mengakui prosedur baharu mungkin menambah beban operasi terutama kewajipan lesen khas dan bayaran royalti.
“Kami memang terima semua jenis emas termasuk emas dulang tapi apabila kena lesen lain, kena bayar royalti, itu jadi tambahan beban.
“Sekarang pun sudah ada cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, lesen pembeli emas ini pula melibatkan prosedur lebih rumit,” katanya.
Jelasnya, ketidakpastian ketulenan emas mentah masih menjadi cabaran utama kerana sering bercampur pasir atau bahan asing selain risiko emas palsu.
“Kena cairkan dulu untuk pastikan mutu sebenar.
“Risiko pula tinggi takut emas palsu, emas curi atau campuran bukan logam. Sebab itu ramai kedai mungkin berkira-kira nak terima emas ini,” katanya.
Namun, Rozlin berkata, dia tetap menantikan garis panduan rasmi kerajaan sebelum membuat keputusan akhir mengenai permohonan lesen tersebut.
Ringkasan AI
- Pengusaha kedai emas bersedia membeli emas hasil dulang dengan syarat memohon lesen pembeli emas.
- Peraih emas menyokong langkah kerajaan mewajibkan lesen bagi pendulang dan pembeli emas untuk kawal selia industri.
- Kerajaan negeri mengumumkan bahwa hasil emas wajib dijual kepada pembeli berlesen mulai Januari depan.
- Emas mentah memerlukan pemurnian sebelum mencapai tahap standard kerana mengandungi campuran tanah.
- Prosedur baharu termasuk kewajipan lesen khas dan bayaran royalti menambah beban operasi kepada pemilik kedai emas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

