X

Kindly register in order to view this article
!

Perlukah pakej rangsangan dibahas?

A
A

MINGGU lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara. Sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Timbul persoalan apabila pihak pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan tindakan Perdana Menteri mengumumkan mengenai pakej rangsangan ekonomi tersebut tanpa terlebih dahulu membahaskannya di Parlimen.

Secara umumnya, jika ada mana-mana keperluan untuk suntikan dana tambahan dalam perbelanjaan kerajaan Persekutuan, maka Perkara 101, Perkara 102 dan Perkara 103 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa kelulusan Parlimen adalah diperlukan.

Perkara 101 menetapkan bahawa untuk sebarang peruntukan tambahan, jumlah wang yang dikehendaki atau dibelanjakan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat. Namun, itu tidak bermaksud pihak kerajaan Persekutuan perlu membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dalam masa terdekat ini. Perkara 101(b) telah secara nyata mengatakan bahawa jika apa-apa wang telah dibelanjakan bagi apa-apa maksud melebihi amaun yang telah diperuntukkan sebelum ini (melalui Bajet 2020), maka jumlah wang yang dibelanjakan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat. Perkara 101(b) menggunakan perkataan ‘apa-apa wang telah dibelanjakan’ yang bermaksud kerajaan boleh melaksanakan terlebih dahulu pakej rangsangan dan dibentangkan di Dewan Rakyat kemudian.

Ia sudah jelas pakej rangsangan sempena pandemik Covid-19 boleh dilaksanakan tanpa perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat terlebih dahulu. Malah, dalam situasi getir dan gering seperti hari ini, adalah amat tidak sesuai untuk sidang Parlimen dilakukan semata-mata untuk berbahas mengenai pakej rangsangan ekonomi yang amat diperlukan oleh majoriti rakyat hari ini.

Perlembagaan tidak menyatakan bila sesuatu belanjawan tambahan atau pembentangan Akta Perbekalan Tambahan perlu dibuat di Parlimen, lantas memberikan kelebihan kepada kerajaan untuk fokus memberikan bantuan kepada rakyat terlebih dahulu berbanding membawa usul ini ke Dewan Rakyat dan kemudiannya akan terdedah untuk dipolitikkan.Bekas Exco Perak, Dr Abdul Aziz Bari, yang merupakan seorang pakar perlembagaan telah menyatakan bahawa: “Jika tidak kerana pandemik koronavirus, sidang tersebut (adalah) perlu kerana sistem negara berasaskan demokrasi berperlembagaan.”Saya secara peribadi kurang gemar dengan kenyataan beliau yang berikut: “Walaupun sesuatu usul (belanjawan tambahan) itu bukan dinamakan undi tidak percaya, sekiranya dasar atau keputusan penting diumumkan oleh kerajaan itu ditolak oleh Parlimen maka Muhyiddin bersama Kabinetnya perlu meletakkan jawatan kerana ia merupakan prinsip diamalkan di seluruh negara Komanwel.” Kenyataan sebegini bukanlah kenyataan yang kita mahu dengar pada hari ini. Rakyat sedang panik, ramai menangis dan mengikat perut kerana tidak cukup makan. Tetapi, politikus pembangkang masih berasa sakit hati dengan Langkah Sheraton hingga mahu mempolemikkan pakej rangsangan yang amat diperlukan rakyat.Benar, pakej rangsangan ini bukanlah yang terbaik, tetapi ia adalah satu inisiatif yang sangat diperlukan oleh rakyat dalam menangani masalah yang dibawa oleh pandemik Covid-19.

Dalam situasi ekonomi yang amat teruk tergugat, sudah tentu pakej rangsangan ini akan sedikit sebanyak mampu meredakan kerisauan rakyat jelata termasuk pengusaha dan pekerja PKS.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf