Hexagon Synergy, MIMA jalin kerjasama perkukuh infrastruktur pengurusan sisa marin

Dari kiri: Felo Kanan MIMA, Dr Sumathy Permal; Ketua Pengarah MIMA, Datuk Monaliza Suhaimi, Pengerusi MIMA Datuk Suffian Awang, Pengarah Urusan Hexagon Synergy (M) Sdn Bhd, Rashdan Baharum dan Ketua Kelestarian dan Perancangan Strategik, Hexagon Synergy (M) Sdn Bhd Dr Nur Zulaikha Yusof pada majlis menandatangani MoU.
Dari kiri: Felo Kanan MIMA, Dr Sumathy Permal; Ketua Pengarah MIMA, Datuk Monaliza Suhaimi, Pengerusi MIMA Datuk Suffian Awang, Pengarah Urusan Hexagon Synergy (M) Sdn Bhd, Rashdan Baharum dan Ketua Kelestarian dan Perancangan Strategik, Hexagon Synergy (M) Sdn Bhd Dr Nur Zulaikha Yusof pada majlis menandatangani MoU.
A
A
A

HEXAGON Synergy (M) Sdn Bhd (HSSB) dan Institut Maritim Malaysia (MIMA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu usaha negara dalam pengurusan sisa marin, mengukuhkan rangka kerja dasar, serta menyokong pembangunan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) selaras dengan obligasi antarabangsa di bawah Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Pengarah Urusan HSSB, Rashdan Baharum berkata, MoU itu akan membabitkan perkongsian pengetahuan, kajian perundangan dan pembangunan dasar, rangka kerja ekonomi kitaran, pemerkasaan ESG, pembinaan modal insan, dan libat urus bersama pihak berkepentingan.

MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah MIMA, Monaliza Suhaimi dan Rashdan pada Jumaat lalu di Kuala Lumpur.

Rashdan berkata, perkongsian itu selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 12 dan SDG 14, serta menyokong pengukuhan tadbir urus alam sekitar, perlindungan komuniti, dan peningkatan ketahanan terhadap perubahan iklim.

Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Pencegahan Pencemaran daripada Kapal (MARPOL) pada 27 September 2010, yang mewajibkan negara menyediakan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) yang mencukupi selaras dengan Lampiran I hingga VI Konvensyen MARPOL.

Kewajipan ini diperkukuh lagi oleh Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 445, yang mewajibkan pelabuhan menyediakan kemudahan yang sesuai untuk penerimaan sisa yang dihasilkan oleh kapal serta menetapkan agar kapal membuang sisa tersebut sebelum memasuki atau meninggalkan pelabuhan.

Pemerkasaan infrastruktur PRF terus menjadi keutamaan berikutan ancaman alam sekitar yang berterusan, termasuk pembuangan lebih 180 juta tan air cucian daripada sistem pembersih asap kapal ke dalam perairan Selat Melaka setiap tahun.

Menyedari kepentingan kemudahan PRF, kerajaan menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan kemudahan PRF.

HSSB, sebuah syarikat perintis inisiatif PRF di Malaysia dan pemaju PRF pertama negara, menandatangani Perjanjian Syarikat Usahasama (JVCo) dengan Sabah Ports Sdn. Bhd. pada 7 Ogos 2024 untuk membangunkan dan mengendalikan infrastruktur PRF di pelabuhan Sabah.

Artikel Berkaitan:

Sebagai syarikat peneraju PRF, Rashdan berkata, HSSB menjalankan penanda aras PRF antarabangsa bagi mendalami amalan terbaik di negara maju maritim, termasuk penglibatan teknikal dan pertemuan dengan Jawatankuasa Perlindungan Persekitaran Marin (MEPC), IMO, Pelabuhan Rotterdam, Agensi Maritim dan Pengawal Pantai, United Kingdom, INTERTANKO, serta pengendali PRF yang berpengalaman di Portugal dan Turki.

Beliau berkata, perkongsian awam–swasta ini mencerminkan keutamaan ESG negara sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam pengurusan sisa marin yang lestari.

“JVCo ini dijangka membina ekosistem ekonomi kitaran sepenuhnya yang pertama dalam komuniti pelabuhan di ASEAN, menjadikan Malaysia sebagai peneraju BIMP-EAGA dalam usaha pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Selain pembangunan infrastruktur, HSSB komited untuk memperkukuh kapasiti kerajaan dalam pelaksanaan PRF serta menyokong objektif nasional dalam pembentukan dasar, penambahbaikan peraturan, dan pembangunan model operasi lestari bagi memastikan perlindungan ekosistem marin di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

HSSB adalah penyedia perkhidmatan berkaitan penyelesaian kejuruteraan, alam sekitar, dan integrasi lestari, serta menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi kemudahan penerimaan pelabuhan, pengurusan sisa berjadual, inisiatif ekonomi kitaran, dan pembangunan infrastruktur.

Ringkasan AI

  • HEXAGON Synergy (M) Sdn Bhd (HSSB) dan Institut Maritim Malaysia (MIMA) menandatangani MoU untuk memacu usaha pengurusan sisa marin
  • MoU melibatkan perkongsian pengetahuan, kajian perundangan, pembangunan dasar, dan libat urus bersama pihak berkepentingan
  • Perkongsian ini menyokong komitmen Malaysia kepada Matlamat Pembangunan Lestari dan pengukuhan tadbir urus alam sekitar
  • Malaysia mewajibkan pelabuhan menyediakan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan yang mencukupi selaras dengan Konvensyen MARPOL
  • HSSB adalah syarikat perintis inisiatif PRF di Malaysia dan telah menandatangani JVCo dengan Sabah Ports Sdn. Bhd. untuk pembangunan infrastruktur PRF di pelabuhan Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!