ADMM catat pencapaian tertinggi

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 melakar sejarah tersendiri apabila meluluskan jumlah inisiatif tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh setahun, sekali gus membuktikan komitmen kukuh ASEAN dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara kejayaan utama mesyuarat kali ini ialah penerimaan dokumen penting iaitu Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Perpaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran yang menjadi panduan membentuk landskap keselamatan rantau pada masa hadapan.
“Dokumen ini merupakan bukti komitmen bersama kita ke arah ASEAN yang aman, stabil dan berpandangan jauh. Ia juga membuktikan ADMM bukan sekadar forum formal, sebaliknya sebuah komuniti dinamik dengan matlamat serta kemajuan bersama.
“Menerusi perbincangan, mesej jelas diketengahkan bahawa kekuatan ASEAN tidak terletak pada kuasa atau penguasaan, tetapi pada semangat kerjasama dan dialog,” katanya ketika berucap penutup ADMM ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa semangat kerjasama yang mengutamakan perpaduan berbanding persaingan menjadi tunjang kepada kestabilan rantau ini serta jaminan terhadap masa depan ASEAN.
Justeru beliau menyeru semua negara anggota agar terus berpegang kepada prinsip ‘ASEAN Didahulukan’ sebagai panduan dalam setiap tindakan dan keputusan bersama.
Terdahulu dalam ucapan pembukaan rasmi ADMM ke-19, Mohamed Khaled menekankan keperluan ASEAN memperluas kerjasama melangkaui aspek ketenteraan tradisional bagi menghadapi ancaman keselamatan baharu yang merentasi sempadan dan dimensi.
Katanya, cabaran keselamatan masa kini seperti serangan siber, penyebaran maklumat palsu dan manipulasi digital kini menjadi ancaman besar setanding pertikaian wilayah, justeru memerlukan ASEAN mengamalkan pandangan jauh dalam aspek teknologi, keselamatan siber serta inovasi bersama.

“Sama ada di darat, laut atau ruang siber, kita tidak boleh lagi mengabaikan mana-mana aspek keselamatan.
“Aktor bukan negara yang berpengaruh kini menggunakan teknologi sebagai senjata untuk mengganggu kestabilan masyarakat, menggulingkan kerajaan serta menjejaskan infrastruktur kritikal.
“Jika kita tidak melabur untuk menghadapi ancaman ini, bermakna kita gagal menjamin masa depan,” katanya.
Kuasa besar perlu hormati undang-undang antarabangsa, galak keamanan global
Sementara itu, dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) ke-12, beliau menyampaikan gesaan ASEAN kepada kuasa besar dunia agar menggunakan pengaruh mereka secara bertanggungjawab selaras undang-undang antarabangsa serta menggalakkan keamanan, terutama ketika konflik global dan serantau terus berlarutan.
Beliau menegaskan, semua negara tanpa mengira saiz atau kekuatan perlu tegas menolak sebarang pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
“Satu perkara yang mesti kita dukung ialah undang-undang antarabangsa. Setiap negara, besar atau kecil, perlu berdiri teguh menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan mendalam Malaysia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing serta mengecam tindakan menggunakan kelaparan dan kekurangan bekalan sebagai senjata peperangan.
Susulan itu menurutnya, Malaysia menyambut baik Pelan Komprehensif yang dikemukakan Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik di Gaza.
Mesyuarat ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 diadakan dari 20 Oktober hingga 2 November dengan penyertaan lapan negara Rakan Dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
Deklarasi Kuala Lumpur bawa mesej keamanan, perpaduan ASEAN
Malaysia menyerahkan Deklarasi Kuala Lumpur kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn sebagai simbol komitmen berterusan rantau ini terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.
Deklarasi tersebut mengguna pakai sekurang-kurangnya sembilan inisiatif berkaitan perpaduan ASEAN untuk keselamatan dan kemakmuran serantau.
Ia sebahagian daripada 25 perkara utama bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau, menegakkan keamanan serta memupuk kemakmuran bersama dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang.
Deklarasi berkenaan turut meluluskan Persidangan Keselamatan Siber Maritim sebagai aktiviti kedua di bawah Kerangka Pandangan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP), sekali gus menjadi platform untuk menangani pertembungan yang menjadi antara cabaran keselamatan maritim dan siber.
ASEAN menerusi sembilan inisiatif itu, ia menyatakan berkaitan Kertas Konsep mengenai Pemerkasaan Kerjasama Industri Pertahanan ASEAN (ADIC), yang bertujuan menyemarakkan semula kerjasama industri pertahanan dengan memanfaatkan kekuatan industri pertahanan negara anggota.
Selain itu turut terkandung mengenai kerjasama Institusi Sejarah Ketenteraan ASEAN (AMHIC), yang bertujuan memupuk kesedaran sejarah ketenteraan dalam ASEAN melalui penyelidikan, pendidikan dan perkongsian warisan ketenteraan di rantau ini.
Inisiatif Garis Panduan dan Pelan Tindakan bagi Pelaksanaan Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ACDN) pula menggariskan hala tuju strategik, aktiviti utama dan penanda aras untuk memperkukuh kapasiti pertahanan siber negara anggota ASEAN secara progresif, juga diguna pakai.
Peraturan Prosedur (ROP) bagi Kerjasama Institusi Pendidikan Pertahanan ASEAN (ADEIC) berfungsi sebagai rangka kerja untuk memperkukuh rangkaian serta mempromosikan pendidikan ketenteraan dan pertahanan di universiti, kolej, institut dan akademi pertahanan negara anggota ASEAN.
Menurut kenyataan itu, ADMM juga mengguna pakai inisiatif Prosedur Operasi Piawai (SOP) mengenai Pemerkasaan Kerjasama antara Angkatan Pertahanan Negara-Negara Anggota ASEAN dalam Kawalan Pandemik Rentas Sempadan, yang menggalakkan kolaborasi antara institusi pertahanan ASEAN dalam menangani pandemik rentas sempadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

