Sambungan paip Sungai Perai: 26,000 pengguna tidak akan alami gangguan

GEORGE TOWN - Seramai kira-kira 26,000 pengguna air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) tidak akan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual apabila Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) melaksanakan projek penyambungan saluran paip utama bersaiz 900 milimeter pada 28 Januari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, projek bernilai RM3.2 juta itu melibatkan kerja-kerja penyambungan akhir bahagian baharu saluran paip menyeberangi Sungai Perai Kedua di Sungai Dua.
Menurutnya, projek berkenaan merupakan projek saluran paip menyeberangi sungai kedua yang disiapkan dalam tempoh dua tahun bagi memperkukuh sistem agihan air di Seberang Perai.
“PBAPP akan menggunakan teknologi 'hot tapping' dan 'line stopping' bagi memastikan aliran air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua ke kawasan SPU dan SPT tidak perlu dihentikan sepanjang kerja-kerja penyambungan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, penggunaan teknologi berkenaan membolehkan PBAPP mengelakkan penutupan saluran paip utama sekali gus mencegah gangguan bekalan air berjadual yang berpotensi berlaku antara 24 hingga 48 jam.
"Persediaan kerja 'line stopping' akan dilaksanakan pada 27 Januari melibatkan pemasangan kelongsong 'hot tapping' serta mesin khas bagi mengalihkan aliran air melalui saluran lencongan sementara.
"Kerja-kerja penyambungan akhir pada 28 Januari akan melibatkan beberapa peringkat utama termasuk 'hot tapping', pemotongan paip lama, lencongan aliran air sementara, penanggalan bahagian paip lama serta pemasangan dan kimpalan bahagian paip baharu," ujarnya.
Tambahnya, seramai empat pengimpal akan ditugaskan bagi mempercepatkan kerja kimpalan sebelum ujian udara dilaksanakan dan aliran air dipulihkan sepenuhnya melalui saluran paip baharu.
"Keseluruhan kerja penyambungan akhir dijangka selesai sepenuhnya pada 29 Januari dengan penanggalan mesin 'line stopping'.
"Kerja-kerja penyambungan akhir itu akan dilaksanakan berhampiran dua buah restoran di Sungai Dua iaitu Restoran Sri Tambang dan Restoran Aur Gading," katanya.
Mengulas mengenai kos, Pathmanathan berkata, PBAPP memperuntukkan kira-kira RM800,000 bagi pelaksanaan teknologi 'line stopping' dan 'hot tapping' berbanding RM80,000 bagi kaedah penyambungan konvensional.
“Walaupun kosnya lebih tinggi, pendekatan ini dipilih kerana ia membolehkan kira-kira 26,000 pengguna air tidak terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual,” jelasnya.
Menurut beliau, sekiranya kerja-kerja penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai Kedua ini berjaya dilaksanakan mengikut jadual dan tanpa sebarang isu, PBAPP akan mempertimbangkan penggunaan semula teknologi tersebut bagi projek-projek akan datang.
"Secara keseluruhan penggunaan teknologi 'line stopping' dan 'hot tapping' lebih memudahkan pengguna air serta operasi PBAPP namun pelaksanaannya pada masa hadapan perlu mengambil kira faktor kos, tempoh pelaksanaan, jenis dan saiz saluran paip serta jumlah pengguna terlibat.
“Sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian luar jangka, pengguna di Sungai Dua serta beberapa kawasan di SPT termasuk Alma, Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bukit Teh, Machang Bubok, Penanti dan kawasan sekitarnya disarankan menyimpan bekalan air bagi kegunaan selama 24 jam bermula 28 hingga 29 Januari,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu diambil memandangkan teknologi berkenaan digunakan buat kali pertama di Pulau Pinang dan PBAPP mahu memastikan kebajikan pengguna air terus terpelihara.
Ringkasan AI
- Projek penyambungan saluran paip utama di Pulau Pinang tidak akan mengganggu bekalan air untuk 26,000 pengguna
- Projek bernilai RM3.2 juta ini melibatkan penyambungan saluran paip menyeberangi Sungai Perai Kedua
- PBAPP menggunakan teknologi 'hot tapping' dan 'line stopping' untuk mengelak gangguan bekalan air
- Kos untuk teknologi 'line stopping' dan 'hot tapping' adalah RM800,000 berbanding RM80,000 untuk kaedah konvensional
- Pengguna disarankan menyimpan bekalan air sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

