Selangor umum ketetapan terkini, peraturan tambahan sepanjang PKP

Beberapa ketetapan terkini dan peraturan tambahan sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April depan. - Foto FB Amirudin Shari
Beberapa ketetapan terkini dan peraturan tambahan sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April depan. - Foto FB Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor hari ini menetapkan beberapa perkara dan peraturan tambahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sehingga 14 April depan susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri telah meneliti beberapa perkembangan terbaru daripada semua agensi terlibat termasuk dapatan oleh Pasukan Task Force Pencegahan Covid-19 Negeri Selangor.

Menurutnya, antara perkara diputuskan dalam mesyuarat petang tadi termasuk bekalan bahan makanan akan mula dibekalkan kepada semua isi rumah di kawasan Sungai Lui, Hulu Langat pada kadar serta-merta bermula malam ini.

“Kerajaan negeri bersedia membantu untuk menambah jika terdapat sebarang keperluan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut.

“Sebaran maklumat melalui ‘Info On Wheel’ Jabatan Penerangan Negeri Selangor akan dilakukan secara menyeluruh kepada semua yang terlibat bagi memaklumkan perkara yang perlu dipatuhi sepanjang PKPD serta maklumat yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan luar jangka.

“Mesyuarat kali ketiga sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu turut memutuskan supaya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor segera melakukan saringan Covid-19 kepada penduduk berisiko tinggi di kawasan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, selaras pengumuman PKP Fasa Kedua, kerajaan negeri membuat ketetapan operasi pasar borong hanya dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 4 petang; pasar awam (8 pagi – 4 petang); pasaraya, kedai runcit dan serbaneka ( 8 pagi – 8 malam); restoran ( 8 pagi – 8 malam); perkhidmatan penghantaran ( 8 pagi – 8 malam); pengangkutan awam (6 pagi – 10.00 dan 5 petang – 10 malam); pengangkutan komersial (7 malam- 7 pagi);perkhidmatan e-hailing dan teksi (6 pagi-10 malam) dan stesen minyak ( 8 pagi – 8 malam).

Katanya, peraturan tambahan itu akan berkuatkuasa Rabu ini.

Artikel Berkaitan:

“Penyelarasan lanjut dengan pihak berkuasa tempatan serta pegawai daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah akan diselaraskan oleh Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi kerjasama kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam melaksanakan mekanisme yang berkaitan dalam usaha menggempur penularan Covid-19,” katanya.