PRK Kinabatangan, Lamag: Bukan sekadar pertandingan politik, ini soal mandat rakyat

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah bagi menyelaras gerak kerja jentera dan memperkukuh strategi kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Penyelarasan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah yang dipengerusikan Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, bagi memastikan pergerakan jentera parti lebih tersusun, selain memperkukuh kerjasama antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil kepimpinan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam menghadapi PRK tersebut.
Menurut Jafry, kesepakatan antara parti-parti komponen merupakan elemen penting dalam memastikan kestabilan politik dan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri.
"Kestabilan politik dan keberkesanan pentadbiran negeri sangat bergantung kepada kesepakatan parti-parti komponen dalam membina dasar yang konsisten, menyeluruh dan berpandangan jauh demi kepentingan rakyat," katanya selepas mesyuarat tersebut pada malam Isnin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor atas sokongan terhadap usaha penyelarasan berkenaan.
Dalam pada itu, Jafry menegaskan bahawa PRK Kinabatangan dan Lamag bukan sekadar pertandingan politik, sebaliknya melibatkan soal mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan terbabit.
"PRK ini bukan sekadar pertandingan politik, tetapi soal mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan.
"Kita bergerak sebagai satu pasukan, satu suara dan satu matlamat untuk menang," ujarnya.
Untuk rekod, BN mempertaruhkan Mohd Kurniawan Naim iaitu anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai calon Parlimen Kinabatangan, manakala Mohd Ismail Ayob atau Miha dicalonkan bagi kerusi DUN Lamag.
PRK diadakan selepas penyandangnya, Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.
Ringkasan AI
- Barisan Nasional Sabah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah untuk PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
- Mesyuarat itu bertujuan untuk menyelaras gerak kerja jentera kempen dan memperkukuh kerjasama antara parti-parti komponen
- Mesyuarat dihadiri oleh wakil dari BN, GRS, PKR, UPKO dan PBRS, menunjukkan komitmen bersama
- Kestabilan politik dan keberkesanan pentadbiran negeri bergantung kepada kesepakatan parti-parti komponen
- PRK Kinabatangan dan Lamag melibatkan mandat rakyat dan kestabilan masa depan kawasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
