Johor sokong UPSR, PT3 dikembalikan, wujud Akta Perlindungan Guru

JOHOR BAHRU - Cadangan agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan dilihat wajar dipertimbangkan semula sebagai penanda aras pencapaian akademik murid dan pelajar di negara ini.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, cadangan yang disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu mengambil kira hasrat serta kebimbangan ibu bapa yang mahukan satu sistem penilaian yang jelas, tersusun dan seragam.
Jelasnya, cadangan agar Akta Perlindungan Guru Malaysia diwujudkan demi menjaga kebajikan dan martabat warga pendidik negara turut disokong.
"Akta Perlindungan Guru Malaysia bertepatan dengan realiti semasa yang dihadapi oleh guru-guru, merangkumi isu kebajikan dan pelaksanaan disiplin di sekolah.
"Selain beban tugas yang semakin kompleks serta cabaran persekitaran pendidikan yang menuntut sokongan undang-undang yang lebih jelas dan adil.
"Begitu juga dengan tuntutan agar UPSR dan PT3 dikembalikan, mengambil kira suara serta hasrat ibu bapa yang mahukan satu penanda aras jelas bagi menilai tahap pencapaian akademik dan perkembangan anak-anak di sekolah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut ADUN Tanjung Surat itu, kerajaan Johor menyokong penuh kedua-dua cadangan tersebut demi kebaikan sistem pendidikan negara.
"Cadangan terbabit selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk melindungi warga pendidik serta memastikan sistem pendidikan yang seimbang, berkualiti dan berfokus.
"Seterusnya membawa kepada pembinaan generasi Bangsa Johor yang cemerlang, berdaya saing dan berwibawa demi masa depan negeri dan negara," katanya.
Pada Sabtu, UMNO menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan semula.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 berkata, parti berkenaan akan memastikan hasrat itu tercapai.
Ringkasan AI
- Cadangan agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian akademik
- Cadangan tersebut disokong oleh Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin
- Cadangan pembentukan Akta Perlindungan Guru Malaysia untuk menjaga kebajikan dan martabat guru
- Kerajaan Johor menyokong cadangan tersebut untuk kebaikan sistem pendidikan
- UMNO menuntut Kementerian Pendidikan kembalikan semula UPSR dan PT3 dan akan memastikan hasrat itu tercapai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


