Cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway timbul persoalan kepentingan nasional - Akmal Saleh

Tangkap layar salah satu daripada dua video dikongsi Akmal Saleh di laman Facebooknya.
Tangkap layar salah satu daripada dua video dikongsi Akmal Saleh di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Group menimbulkan persoalan besar berkaitan kepentingan nasional serta ekuiti Bumiputera, memandangkan hampir separuh pegangan saham syarikat berkenaan dimiliki oleh institusi pelaburan negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata perkara itu timbul susulan penerimaan notis daripada Bursa Malaysia oleh IJM Corporation pada 12 Januari 2026 berhubung kemungkinan Sunway Group membeli saham syarikat berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada pengambilalihan penuh.

Menurut beliau, IJM bukan syarikat milik individu, sebaliknya dimiliki oleh beberapa institusi pelaburan utama negara termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 19 peratus, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 14.4 peratus dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan 9.6 peratus.

Selain itu, Lembaga Tabung Haji memiliki 2.8 peratus saham manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memegang 0.3 peratus, menjadikan keseluruhan pegangan institusi pelaburan negara mencecah kira-kira 47.1 peratus.

Jelasnya, pegangan besar institusi berkenaan menjadikan IJM sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan awam, kepentingan kerajaan serta peranan penting dalam pemilikan ekuiti ekonomi Bumiputera.

Sebaliknya, Sunway Group dimiliki oleh individu iaitu Tan Sri Jeffrey Cheah yang menguasai hampir 60 peratus pegangan saham kumpulan berkenaan, sekali gus meletakkan IJM sepenuhnya di bawah kawalan Sunway sekiranya pengambilalihan berlaku.

“Keadaan ini dibimbangi akan menjejaskan ekuiti Bumiputera dalam syarikat besar negara memandangkan pemilikan sedia ada melalui institusi pelaburan nasional berpotensi terhakis atau hilang,” ujarnya menerusi dua video yang dikongsi di laman Facebook beliau.

Datuk Dr Muhamad Akmal turut mempersoalkan keperluan pengambilalihan memandangkan IJM berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh dan tidak mencatatkan kerugian, sebaliknya merekodkan keuntungan RM964.1 juta bagi tahun kewangan terdahulu, selain telah membayar dividen berjumlah RM5.92 bilion.

Beliau berkata, IJM juga memiliki aset strategik negara termasuk lebuh raya utama seperti New Pantai Expressway (NPE), Besraya, Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) serta Pelabuhan Kuantan yang dianggap sebagai aset berkepentingan strategik.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, cadangan nilai pengambilalihan hampir RM11 bilion dilihat besar, namun pelabur institusi hanya menerima kira-kira satu peratus dalam bentuk tunai manakala baki 90 peratus melalui pertukaran saham Sunway, bukan bayaran tunai sepenuhnya.

Menurut beliau, berdasarkan harga saham Sunway sekitar RM5.65 sesaham, pertukaran itu akan menyebabkan IJM memperoleh pegangan sekitar 10 hingga kurang daripada 20 peratus dalam Sunway, sekali gus hanya menjadi pemegang saham minoriti.

“Sedangkan IJM ialah sebuah konglomerat besar, berdaya saing dan mencatat keuntungan, namun akhirnya hanya memperoleh saham minoriti dalam Sunway,” ujarnya lagi.

Beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan penilaian saham apabila saham IJM diniagakan sekitar RM2.80 sesaham berbanding nilai aset ketara (NTA) RM2.90, manakala saham Sunway diniagakan sekitar RM5.63 sesaham sedangkan NTA hanya RM2.34, iaitu pada premium kira-kira 2.4 kali ganda.

Keadaan itu, tegasnya, menimbulkan keraguan terutama apabila nilai saham Sunway dilihat melonjak secara mendadak.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan penuh terhadap pergerakan serta penilaian saham Sunway sebelum sebarang transaksi diteruskan.

Beliau turut mencadangkan sekiranya pengambilalihan tetap mahu dilaksanakan, ia perlu dibuat secara tunai sepenuhnya bernilai RM11 bilion dan bukan melalui kaedah pertukaran saham, bagi memastikan nilai transaksi dapat dinilai secara hakiki.

Datuk Dr Muhamad Akmal menegaskan, desakan itu dibuat kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan ekuiti Bumiputera dan ekonomi negara, selain membabitkan institusi pelaburan penting negara yang tidak wajar digadaikan melalui urus niaga yang berpotensi merugikan pada masa hadapan.

 

 

Ringkasan AI

  • Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Group menimbulkan persoalan ekuiti Bumiputera dan kepentingan nasional
  • Hampir separuh pegangan saham IJM dimiliki oleh institusi pelaburan negara seperti KWSP, PNB dan KWAP
  • Sunway Group dimiliki oleh individu iaitu Tan Sri Jeffrey Cheah dengan hampir 60 peratus pegangan saham
  • IJM berada dalam kedudukan kewangan kukuh dan memiliki aset strategik negara seperti lebuh raya utama dan Pelabuhan Kuantan
  • Cadangan pengambilalihan menimbulkan kebimbangan tentang potensi kerugian ekuiti Bumiputera dan institusi pelaburan nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!