IJM raih kontrak bina sambungan Lebuhraya Pantai Baru bernilai RM1.4 bilion

KUALA LUMPUR - IJM Corporation Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, IJM Construction Sdn Bhd meraih kontrak daripada New Pantai Expressway Sdn Bhd untuk mereka bentuk dan membina Sambungan Lebuhraya Pantai Baru (NPE 2) yang bernilai RM1.4 bilion.
IJM dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu berkata projek itu melibatkan pembinaan lebuh raya bertingkat sepanjang 15 kilometer termasuk lorong susur arah dan plaza tol baharu yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam sedia ada ke Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra.
Syarikat itu berkata projek berkenaan dijadualkan bermula pada suku keempat 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dari tarikh ia bermula.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Datuk Lee Chun Fai berkata kontrak itu menandakan peralihan projek Sambungan NPE daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan.
"Ia juga merupakan projek ketiga kami yang melebihi RM1 bilion tahun ini selepas projek pusat data bernilai RM1.4 bilion di Johor dan pembangunan pusat data hiperskala bernilai RM2.135 bilion di Elmina.
"Secara keseluruhannya, kejayaan ini mencerminkan kemajuan IJM Construction dalam melaksanakan projek berskala besar merentas sektor perindustrian dan infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan. - Bernama
Ringkasan AI
- IJM meraih kontrak RM1.4 bilion untuk membina Sambungan Lebuhraya Pantai Baru
- Projek meliputi pembinaan lebuh raya bertingkat 15 kilometer dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Persimpangan Jalan Istana
- Projek dijadualkan bermula pada suku keempat 2025 dan siap dalam 48 bulan
- Kontrak itu menandakan peralihan Sambungan NPE dari perancangan ke pelaksanaan
- Ini merupakan projek ketiga IJM yang melebihi RM1 bilion dalam tahun yang sama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
