Covid-19: Menara City One lokasi ketiga dikenakan PKPD

Menara City One di Kuala Lumpur menjadi lokasi ketiga dikenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKDP).
Menara City One di Kuala Lumpur menjadi lokasi ketiga dikenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKDP).
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menara City One di Kuala Lumpur menjadi lokasi ketiga dikenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKDP) selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 17 kes positif wabak koronavirus (Covid-19) di kawasan itu hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 13 April depan.

"Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga (PKPD) di Menara City One.

"Perintah ini melibatkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara

itu.

"Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan aktiviti pengesanan

kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selaras dengan perintah itu juga, semua penghuni tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh tersebut dan orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

"Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan penting dan pesanan makanan hanya boleh dihantar di lobi

keselamatan pintu utama menara.

"Selain itu, Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD serta semua laluan keluar masuk kawasan tersebut ditutup," katanya.

Katanya, bagi memastikan pematuhan perintah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan tersebut.

"Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa," katanya.