Terharu karya sampai ke Istana Negara

Teknik meraup buluh bagi menghasilkan kerangka wau.
Teknik meraup buluh bagi menghasilkan kerangka wau.
A
A
A

KOTA BHARU - Di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, deruan angin laut suatu ketika dahulu sarat dengan warna-warni wau yang terbang tinggi.

Kini, pembuat wau, Wan Anuar Sapie, 47, lebih banyak menyiapkan tempahan dalam diam kerana acara wau semakin berkurang.

Di sebalik kesunyian itu, tersimpan satu detik mengharukan yang menjadi kemuncak perjalanan 25 tahun hidupnya sebagai pembuat wau.

Allahyarham Sapie yang menghasilkan wau di Kelantan semasa hayatnya.
Allahyarham Sapie yang menghasilkan wau di Kelantan semasa hayatnya.

“Saya tak pernah terfikir wau hasil tangan saya dihadiahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya perlahan seolah-olah masih sukar mempercayainya.

Beberapa bulan lalu, Wan Anuar menerima tempahan istimewa daripada bekas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim.

Sebuah wau bulan bersaiz 122 sentimeter dibeli beliau bukan sekadar dipamer, sebaliknya dipersembah sebagai hadiah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Wan Anuar menghasilkan wau itu menggunakan teknik sobek, seni halus mengukir dan menebuk kertas yang memerlukan kesabaran, ketelitian serta mood.

Artikel Berkaitan:

Pembuatan wau yang memerlukan ketelitian tinggi.
Pembuatan wau yang memerlukan ketelitian tinggi.

Setiap lapisan warna ditebuk, ditampal dan dilapis berulang kali bagi mendapatkan tona yang hidup dan seimbang. Lebih istimewa, wau itu turut dihiasi logo serta nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Masa dimaklumkan wau itu sudah disampaikan kepada Agong, saya sebak. Itulah pencapaian paling mengharukan sepanjang saya buat wau,” ujarnya.

Wau bulan juga kerap mewakili Malaysia, terutama dalam jelajah promosi pelancongan saban tahun dan sememangnya dikenali bukan sahaja dalam kalangan warganegara tempatan, malah hingga ke luar negara.

Wau bulan yang dihadiahkan kepada Sultan Ibrahim.
Wau bulan yang dihadiahkan kepada Sultan Ibrahim.

Kelantan menjadi negeri yang mewakili Malaysia membawa wau bulan ke luar negara seperti Korea Selatan, Jepun, London dan negara-negara Eropah lain sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Wau bulan juga pernah diterbangkan ke Busan, Korea Selatan sempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 dan dia menjadi satu-satunya wakil dari negeri ini membawa seni kebudayaan itu ke negara berkenaan.

Seni pembuatan wau bagi Wan Anuar bukan sekadar kemahiran tangan, tetapi warisan darah dan jiwa.

Dia dibesarkan oleh arwah bapanya, Sapie Jusoh yang dikenali Pok Ein, juga seorang tokoh pembuat wau disegani.

Prosesnya bermula daripada memilih buluh duri yang lebih kuat dan tahan bubuk. Buluh diraut, dirangka mengikut saiz dan bentuk, sebelum seni sebenar bermula apabila corak diukir menggunakan pisau halus pada kertas minyak atau kertas ‘jagung’ yang diwarna-warni.

“Banyak kali tebuk, tampal, lapis. Apabila semua dah jadi satu, baru dilekatkan pada rangka,” jelasnya.

Wan Anuar menyiapkan tempahan di Galeri Wau Pak Sapie & Sons di Pantai Cahaya Bulan.

Wau buatannya tetap mempunyai peminat. Harga bergantung pada saiz dan kerumitan, daripada RM100 untuk wau kecil 10 inci, hinggalah RM5,000 bagi wau besar 11 kaki yang biasanya ditempah termasuk oleh penganjur acara.

Koleksi wau yang dihasilkan Wan Anuar.
Koleksi wau yang dihasilkan Wan Anuar.

Dia juga menghasilkan wau pelbagai bentuk negeri iaitu wau cenderawasih dari Pahang, wau kenyalang dari Sarawak, wau dodo helang dari Terengganu dan wau helang dari Perlis.

Wau bulan kekal sebagai wau kebangsaan pertama, diikuti wau kucing dan wau jala budi.

Hal yang meresahkan Wan Anuar bukan soal pasaran, tetapi masa depan warisan berharga itu.

“Generasi muda makin tak minat. Mereka kata bidang wau tak ada masa depan, tak moden,” katanya.

Empat orang anaknya sendiri berusia antara 16 hingga 26 tahun, seorang pun tidak menunjukkan minat untuk menyambung legasi.

“Bukan orang luar saja, waris sendiri pun tak ada yang nak. Sedih kalau difikirkan.”

Ironinya, ketika orang Melayu semakin menjauh, pelawat bukan Melayu khususnya kaum Cina dan pelancong asing semakin kerap datang ke galerinya bertanya, memerhati dan menghargai setiap inci seni yang dihasilkan.

“Wau ini warisan berharga, jati diri kita. Peganglah tali wau itu kemas-kemas, kalau longgar, wau akan terlepas, terbang terus dan hilang,” akhiri Wan Anuar dengan perumpamaan yang sarat makna.

PROFIL

Nama: Wan Anuar Sapie

Asal: Kampung Pauh Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu

Kerjaya: Pembuat dan pengusaha wau tradisional

Pengalaman: 25 tahun

Warisan: Mewarisi seni wau daripada arwah bapanya, Sapie Jusoh (Pok Ein)

Kepakaran: Teknik sobek dan pelbagai jenis wau tradisional

Harga tempahan: RM100 hingga RM5,000

Keluarga: Isteri, Wan Rohanizan Wan Mamat, 47, 4 anak

Harapan: Ada pelapis muda agar wau tidak luput ditelan zaman

 

Ringkasan AI

  • Wan Anuar Sapie, seorang pembuat wau berusia 47 tahun telah menghabiskan 25 tahun hidupnya dalam pembuatan wau dan kini lebih banyak menyiapkan tempahan secara diam-diam
  • Hasil kerja tangan Wan Anuar pernah dihadiahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sebuah pencapaian yang sangat mengharukan baginya
  • Wau bulan dihasilkan dengan teknik sobek, menuntut kesabaran, ketelitian dan mood, lengkap dengan hiasan logo serta nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
  • Selain dikenali secara lokal, wau bulan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dalam promosi pelancongan, termasuk di negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Eropah
  • Wan Anuar berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang dalam pembuatan wau, namun dia risau tentang masa depan warisan ini kerana generasi muda semakin tidak berminat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!