Peruntukan RM27.46 bilion majukan Kelantan

KOTA BHARU - Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM27.46 bilion bagi memajukan negeri ini melalui 500 projek pembangunan dan infrastruktur yang disalurkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jasri Kasim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 118 projek baharu dan 382 projek sambungan sedang dipantau setakat ini dan projek tersebut adalah menerusi Rolling Plan Kelima (RP5).
"Antara projek yang sedang dipantau dan dilaksanakan termasuk ialah pembesaran Jalan Pasir Hor di Kota Bharu dan pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
"Kita sedang memantau semua projek ini bagi memastikan ia siap mengikut jadual ditetapkan dan sekiranya lewat tindakan akan diambil berdasarkan isu yang terlibat," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani di Masjid Al-Husna, Kampung Baung Bayam di sini.
Hadir sama ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Menurut beliau, apabila projek berkenaan siap ia akan memberi perubahan besar untuk kesejahteraan rakyat di Kelantan daripada segi ekonomi, sosial dan peluang pekerjaan.
Dalam perkembangan sama, Jasri memberitahu Kampung Angkat Madani di bawah ICU JPM Kelantan setakat ini melibatkan hampir 10,000 penduduk di empat buah kampung.
Ujarnya, empat kampung yang terlibat ialah Kampung Guchil Bayam dan Sungai Keladi di Kota Bharu, manakala Belimbing serta Pangkal Manak di Tanah Merah.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif pembangunan dan kerja baik pulih infrastruktur asas akan diberikan tumpuan.
"Antara yang dilakukan di kampung ini adalah kerja-kerja menaik taraf pagar kubur, longkang dan jalan kampung serta bantuan baik pulih rumah bagi penduduk miskin di bawah eKasih
"Termasuk projek tambahan seperti pembaikan jalan serta penambahbaikan taman rekreasi turut dirancang bagi meningkatkan keselamatan, kelancaran mobiliti dan ruang komuniti," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan menyalurkan peruntukan RM27.46 bilion untuk 500 projek pembangunan di Kelantan melalui RMK-12
- Projek termasuk 118 baharu dan 382 sambungan dalam Rolling Plan Kelima
- Pembesaran Jalan Pasir Hor dan pembangunan LTSIP antara projek utama
- Projek diharap berikan perubahan besar dalam ekonomi, sosial, dan peluang pekerjaan bagi rakyat Kelantan
- Kampung Angkat Madani di Kelantan melibatkan hampir 10,000 penduduk dari empat kampung dengan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur asas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

