Pelajar hafaz 30 juzuk al-Quran dalam 18 jam terima Ijazah Sanad Aliah Kerajaan Kelantan

Ahmad Fikri (dua dari kanan) menerima penganugerahan Ijazah Sanad Aliah daripada Pusat Taranum Al-Quran Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.
Ahmad Fikri (dua dari kanan) menerima penganugerahan Ijazah Sanad Aliah daripada Pusat Taranum Al-Quran Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Pelajar tahfiz dari Maahad Tarbiah Mardhiah (MTM) Panchor, Pengkalan Chepa di sini, Ahmad Fikri Abdul Hisyam, 17, mencatat kejayaan luar biasa apabila memperoleh syahadah hafazan 30 juzuk al-Quran tanpa sebarang kesalahan dalam tempoh 18 jam, sekali gus melayakkannya menerima Ijazah Sanad Aliah daripada Pusat Taranum Al-Quran Kelantan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, kejayaan pelajar terbabit membuktikan keupayaan anak muda dalam menguasai hafazan al-Quran pada tahap tertinggi.

Menurut beliau, Majlis Pengijzahan Sanad Aliah Al-Quran dan keraian khas kepada Ahmad Fikri telah disempurnakan oleh tenaga pengajar antarabangsa Pusat Taranum Al-Quran Kelantan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), Syeikh Hisham Abdul Bari Mohamed Rageh.

“Ahmad Fikri turut menerima saguhati sebanyak RM3,000, sijil kecemerlangan, Sanad Aliah serta cenderahati sebagai penghargaan atas pencapaian tersebut,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ahmad Fikri memperdengarkan bacaan hafazan di hadapan Syeikh Hisham Abdul Bari.
Ahmad Fikri memperdengarkan bacaan hafazan di hadapan Syeikh Hisham Abdul Bari.

Mohd Asri memberitahu, kejayaan itu wajar dijadikan inspirasi kepada pelajar aliran tahfiz khususnya dalam memupuk disiplin, fokus dan kesungguhan terhadap hafazan al-Quran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa Ahmad Fikri yang menerapkan pendidikan al-Quran sejak kecil dengan membudayakan bacaan al-Quran, solat sunat Dhuha dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, kejayaan tersebut turut mencerminkan peranan institusi pendidikan tahfiz dalam melahirkan pelajar berkualiti serta berdaya saing dalam bidang pengajian al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pelajar tahfiz dari Maahad Tarbiah Mardhiah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran tanpa kesalahan dalam 18 jam
  • Menyebabkan pelajar tersebut menerima Ijazah Sanad Aliah daripada Pusat Taranum Al-Quran Kelantan
  • Ahmad Fikri dianugerahkan RM3,000, sijil kecemerlangan, Sanad Aliah dan cenderahati atas kejayaannya
  • Kejayaan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada pelajar aliran tahfiz dalam memupuk disiplin dan fokus terhadap hafazan al-Quran
  • Mencerminkan peranan institusi pendidikan tahfiz dalam melahirkan pelajar berkualiti dan berdaya saing dalam bidang pengajian al-Quran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!