Musk tuntut sehingga AS$109.4 bilion daripada OpenAI atas 'keuntungan salah'

SAN JOSE (California) - Bilionair teknologi, Elon Musk menuntut sehingga AS$109.4 bilion daripada pembangun ChatGPT, OpenAI di mahkamah dengan mendakwa beliau berhak mendapat pembayaran "keuntungan salah" kepadanya susulan sokongan awalnya terhadap syarikat kecerdasan buatan (AI) itu sebagai pengasas bersama, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam dokumen yang difailkan di sebuah mahkamah California pada Jumaat, peguam Musk memetik penilaian pakar dalam pertikaian undang-undang yang telah berlarutan sejak 2024 itu.
Musk mendakwa beliau telah dinafikan nilai pelaburannya secara tidak sah, namun OpenAI menolak dakwaan itu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam talian pada Jumaat, OpenAI membalas dengan menuduh Musk "salah nyata secara kasar" terhadap rekod bertulis sedia ada.
Menurut pakar yang dirujuk oleh pasukan undang-undang Musk, bilionair kelahiran Afrika Selatan itu menyumbang AS$38 juta kepada pembiayaan awal OpenAI, selain menyediakan rangkaian industri utama serta kepakaran teknikal.
Berdasarkan sumbangan itu, pakar berkenaan menyatakan bahawa Musk berhak mendapat bahagian daripada nilai semasa OpenAI, yang dianggarkan antara AS$65.5 bilion hingga AS$109.43 bilion.
Dokumen mahkamah turut menunjukkan Musk menuntut antara AS$13.3 bilion hingga AS$25.06 bilion daripada rakan kongsi dan pelabur terbesar OpenAI, Microsoft.
Dalam samannya, Musk mendakwa OpenAI yang diasaskannya bersama pada 2015, telah mengabaikan misi asalnya sebagai organisasi bukan untung yang berdedikasi untuk memastikan penyelidikan AI memberi manfaat kepada kemanusiaan.
Beliau berhujah bahawa syarikat itu kini sebahagian besarnya hanya berkhidmat untuk kepentingan Microsoft.
OpenAI sebaliknya menyatakan bahawa pemfailan terbaharu Musk merupakan percubaan keempatnya untuk menghidupkan semula tuntutan yang sama.
Syarikat itu mendakwa tindakan itu adalah sebahagian daripada corak gangguan yang bertujuan melambatkan kerja OpenAI, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat AI miliknya sendiri, xAI, yang diasaskan pada 2023 dan mempunyai chatbot Grok yang bersaing dengan ChatGPT. - Bernama
Ringkasan AI
- Elon Musk menuntut sehingga US$109.4 bilion daripada OpenAI
- Musk mendakwa beliau telah dinafikan nilai pelaburannya secara tidak sah oleh OpenAI
- OpenAI menolak dakwaan Musk dengan menuduhnya salah nyata secara kasar
- Musk menyumbang US$38 juta kepada pembiayaan awal OpenAI dan berhak mendapat bahagian daripada nilai semasa OpenAI
- Musk mendakwa OpenAI telah mengabaikan misi asalnya dan kini hanya berkhidmat untuk kepentingan Microsoft
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
