Myanmar nafi tuduhan genosid Rohingya di Mahkamah ICJ

ISTANBUL - Myanmar pada Jumaat menafikan tuduhan ia melakukan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya dalam kes yang difailkan oleh Gambia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Pendirian tegas Myanmar ialah Gambia gagal memenuhi beban pembuktian. Kes ini akan diputuskan berdasarkan fakta yang dibuktikan, bukan pendakwaan tanpa asas,” kata wakil Myanmar, Ko Ko Hlaing, kepada badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
"Gambia membawa kes itu pada November 2019, menuduh Myanmar melanggar "Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.”
Pada Khamis, mahkamah mendengar hujah pasukan perundangan Gambia mengenai siasatan bahawa pegawai tentera Myanmar menghasut keganasan melalui ucapan kebencian.
ICJ akan meneruskan pendengaran awam sehingga 29 Januari mengenai dakwaan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya.
Sebanyak 11 negara - Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda, United Kingdom, Maldives, Slovenia, Republik Demokratik Congo, Belgium dan Ireland - memfailkan pengisytiharan campur tangan.
Minoriti Muslim Rohingya telah lama menderita akibat penindasan di negeri Rakhine, Myanmar, dengan pihak berkuasa dituduh melakukan genosid.
Kira-kira satu juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh sejak 2017. - Bernama
Ringkasan AI
- Myanmar menafikan tuduhan melakukan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa
- Gambia mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid pada November 2019
- Hujah perundangan Gambia mendakwa pegawai tentera Myanmar menghasut keganasan
- Pendengaran awam di ICJ akan berlanjutan hingga 29 Januari untuk kes ini
- Sebelas negara memfailkan pengisytiharan campur tangan dalam kes tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
