TH tanggung rugi RM4.6 bilion akibat saham susut nilai

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sri Zukri Samat (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Risiko Audit dan Takbir Urus (kanan) bercakap pada sidang media hari ini. - Foto SINAR HARIAN oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sri Zukri Samat (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Risiko Audit dan Takbir Urus (kanan) bercakap pada sidang media hari ini. - Foto SINAR HARIAN oleh ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan institusi kewangan Islam itu mempunyai sebanyak 106 pegangan saham yang mencatatkan kerugian bernilai RM4.6 bilion kerana mengalami susut nilai.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pihaknya mendapati TH mengalami kerugian sebanyak 20 peratus apabila saham-saham daripada sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah serta pembinaan.

“TH juga mempunyai sebuah syarikat perladangan yang tidak disenaraikan yang didapati tidak menjana keuntungan, terbengkalai dalam tempoh yang panjang dan kerosakan teruk.

“Daripada 29 hartanah dan tanah yang dimiliki TH, 18 daripada jumlah itu tidak mendatangkan sebarang keuntungan dan kebanyakannya adalah tanah kosong.

“Aset-aset ini juga tidak boleh dicairkan dan tidak selari dengan kerangka pencairan aset yang baharu jadi ini semua dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV), " katanya, ketika sesi penerangan kepada media di Ibu Pejabat TH hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Risiko, Audit dan Tadbir Urus, Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Pada Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendedahkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Berdasarkan akta, pemberian hibah perlu memenuhi dua syarat utama iaitu aset TH perlu melebihi liabiliti manakala agensi perlu menjana keuntungan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Firma pengauditan, PwC mendapati akaun TH diaudit berakhir 31 Disember 2017 merekodkan aset keseluruhan RM70.3 bilion, sedangkan liabiliti ialah RM74.4 bilion, menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Justeru itu, Kabinet bersetuju supaya pengurusan baharu TH mewujudkan SPV untuk memulihkan kedudukan kewangan agensi terbabit.

Zukri berkata, pemindahan aset yang tidak berprestasi kepada SPV telah membantu untuk memulihkan semula akaun TH dan membolehkan SPV mengendalikan pemulihan dan penambahbaikan aset tersebut.

Menjawab dakwaan pihak tertentu mengenai pemindahan saham melibatkan syarikat yang memberi pulangan tinggi, beliau berkata, TH tidak mampu untuk menunggu lama berikutan kedudukan saham itu kini berada dalam keadaan lemah.

“Ia sukar untuk memastikan berapa lama saham ini dapat meningkat semula dan TH perlu mengambil tindakan cepat dan tidak mempunyai masa untuk terus menunggu menyebabkan kami perlu melepaskan pegangan saham ini,” ujarnya.