Tabung Haji terima satu lagi anugerah Labbaittom

Dr Tawfiq Fawzan (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Mohd Na'im (kiri) pada Jumaat.
Dr Tawfiq Fawzan (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Mohd Na'im (kiri) pada Jumaat.
A
A
A

MAKKAH - Kerajaan Arab Saudi sekali lagi mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila menyampaikan Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyampaikan anugerah itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam satu majlis kesyukuran yang dihadiri oleh pelbagai negara di sini pada Jumaat.

Mohd Na'im dalam pada itu berkata, sistem dan kecekapan pengurusan jemaah haji Malaysia sentiasa diiktiraf sebagai model terbaik di dunia dan merupakan model pengurusan haji yang sering dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.

“Antara kriteria dan spesifikasi untuk anugerah ini adalah penerapan teknologi untuk menyelaraskan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji, persediaan ibadat dan kursus-kursus haji.

"Turut dinilai peratusan kadar kepuasan jemaah haji dengan perkhidmatan yang ditawarkan, penilaian perkhidmatan yang disediakan sepanjang musim haji serta penilaian persediaan urusan pra-musim haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kata Mohd Na'im, ia dapat dilihat melalui kesiapsiagaan TH dalam aspek pengurusan haji di Tanah Suci bagi memberi perkhidmatan terbaik seperti penyediaan prasarana di bangunan penginapan jemaah haji.

"Turut disediakan prasarana di pejabat perkhidmatan Maktab, pejabat perkhidmatan pelanggan, perkhidmatan kesihatan, penggunaan aplikasi THhujjaj untuk makluman perkembangan terkini di Tanah Suci dan perkhidmatan petugas haji dan pembimbing ibadat haji,” katanya.

Pada Februari yang lalu, TH telah memenangi Anugerah Labbaittom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam dari Kerajaan Arab Saudi.

Turut hadir semasa penyampaian anugerah itu ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta Pengurusan TH di Makkah.