Barcelona batal hasrat beli Viktor Onopko kerana ‘hodoh’

Viktor Onopko
Viktor Onopko
A
A
A

DUNIA bola sepak sering diwarnai dengan pelbagai kisah perpindahan yang pelik, namun pendedahan terbaharu daripada bekas pemain pertahanan Rusia, Viktor Onopko mungkin antara yang paling sukar dipercayai.

Memetik portal antarabangsa, Bein Sports, legenda bola sepak itu mendakwa gergasi Sepanyol, Barcelona pernah membatalkan hasrat untuk menandatanganinya suatu ketika dahulu hanya kerana rupa parasnya yang dianggap tidak menarik.

Menerusi satu temu bual dalam audio siar El Bigote de Abadia, Onopko mendedahkan bahawa minat Barcelona sekitar tahun 1990 sehingga 2000 itu adalah benar, namun rundingan tersebut tidak menjadi kenyataan disebabkan alasan yang hampir tidak masuk akal.

"Saya mengetahui bahawa Barcelona mahu menandatangani saya.

"Tetapi (Johan) Cruyff atau salah seorang pembantunya berkata saya hodoh dan itulah sebabnya mereka tidak menandatangani saya," dedah Onopko secara bersahaja.

Pengakuan mengejutkan itu mendedahkan realiti bola sepak pada era tersebut apabila bakat di atas padang kadangkala bukanlah satu-satunya kriteria penilaian kelab-kelab elit Eropah.

Biarpun tidak berpeluang menyarung jersi keramat Blaugrana, Onopko membuktikan kualitinya apabila berjaya menewaskan Barcelona di gelanggang keramat mereka sendiri.

Momen itu hadir ketika beliau menyarung jersi Real Oviedo yang melakar kemenangan bersejarah di Camp Nou pada 27 Mei 2001.

Kejayaan itu turut diserikan dengan kisah menarik membabitkan jurulatih legenda, Radomir Antic.

Artikel Berkaitan:

"Antic membayar bonus kemenangan kami menggunakan wang poketnya sendiri. Dia berjanji sebelum perlawanan dan dia menunaikannya," kenang Onopko yang menyifatkan tindakan itu mengukuhkan hubungan profesional antara mereka.

Kisah Onopko bersama Antic tidak terhenti di Oviedo. Pemain pertahanan kental itu hampir mengikut jejak langkah jurulatihnya ke Atlético Madrid, namun perpindahan itu gagal disebabkan manipulasi pihak ketiga.

Jelas Onopko, dia telah meminta klausa pelepasan dimasukkan jika ada kelab lain menawarkan tawaran lebih baik daripada Oviedo, namun syarat itu dibuang tanpa persetujuannya.

"Saya ada tawaran dari Atlético, tetapi saya sudah tandatangan (dengan Oviedo). Mereka memberitahu jika saya tidak pergi ke Oviedo, saya akan dihukum," katanya yang mengakui kerjaya bola sepaknya mungkin berubah jika perpindahan itu berlaku.

Di sebalik peluang yang terlepas, pemain yang memiliki 109 kaps antarabangsa dan beraksi di dua Piala Dunia (1994 dan 2002) itu tetap menganggap Sepanyol sebagai rumah keduanya.

"Di sini (Sepanyol), anda bekerja untuk hidup," ujarnya.

Selepas meninggalkan Oviedo, Onopko memilih untuk menyertai Rayo Vallecano kerana faktor jurulatih Fernando Vazquez dan memegang memori indah bersama kelab tersebut walaupun pasukan itu akhirnya tersingkir dari liga.

Ringkasan AI

  • Dunia bola sepak diwarnai dengan kisah perpindahan pelik seperti pengalaman Viktor Onopko yang tidak ditandatangani oleh Barcelona kerana rupa parasnya
  • Onopko mendedahkan minat Barcelona padanya sekitar tahun 1990 hingga 2000 tetapi gagal disebabkan dia dianggap tidak menarik oleh Cruyff
  • Walaupun tidak bermain untuk Barcelona, Onopko membuktikan kualitinya dengan menewaskan Barcelona bersama Real Oviedo pada 27 Mei 2001
  • Kejayaan Onopko dan Real Oviedo di Camp Nou diceriakan dengan jurulatih Radomir Antic yang membayar bonus kemenangan menggunakan wang poketnya
  • Onopko hampir bergabung dengan Atlético Madrid tetapi gagal disebabkan manipulasi pihak ketiga yang membuang klausa pelepasan tanpa persetujuannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!