Mongkol dihias tiara dipakai Redho Rocky curi tumpuan sebelum tumbang di tangan Rifdean

Redho Rocky tampil dengan mongkol unik.
Redho Rocky tampil dengan mongkol unik.
A
A
A

MONGKOL yang dipakai petarung Indonesia, Mohamad Redho ‘Rocky’ mencuri tumpuan sebelum melangkah ke gelanggang bagi pertarungan atomweight menentang jaguh Muay Thai negara, Rifdean Masdor di ONE Friday Fights 138 di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Jumaat malam.

Hiasan kepala tersebut dihiasi tiara dan kelihatan feminin, sekali gus mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen yang mengikuti siaran langsung pertarungan ONE Championship di laman YouTube.

Namun, perhatian terhadap aksesori luar biasa itu tidak bertahan lama apabila Rifdean, 23, mempamerkan dominasi mutlak untuk menamatkan perlawanan menerusi knockout (KO) pada pusingan pertama.

Mewakili pasukan Sor Sommai, Rifdean memulakan pertarungan dengan tendangan tepat ke betis Redho Rocky.

Redho Rocky, 26, yang digelar 'Rodtang Idnonesia' oleh peminat seberang sedaya upaya memberikan tentangan namun Rifdean lebih tenang menyerap setiap asakan.

Detik kemenangan buat Rifdean hadir selepas petarung kelahiran Sarawak itu melancarkan serangan spinning elbow tepat ke kepala Redho Rocky yang menyebabkan lawannya hilang keseimbangan.

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Rifdean apabila meneruskan tekanan dengan rangkaian serangan lutut dan tendangan bertalu-talu sehingga pengadil terpaksa menghentikan pertarungan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Rifdean membawa pulang bonus prestasi 350,000 baht (RM45,500), selain mengukuhkan rekodnya di pentas ONE Championship dengan lima kemenangan daripada enam penampilan.

Prestasi konsisten itu mengukuhkan kedudukan Rifdean sebagai antara prospek utama negara yang semakin hampir untuk meraih kontrak rasmi ONE Championship, menyusul jejak langkah dua lagi petarung Malaysia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo) dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib.

Artikel Berkaitan:

Rifdean yang turut digelar ‘Magic Boy’ mempunyai latar belakang cemerlang di peringkat antarabangsa, termasuk tiga gelaran juara dunia bawah 23 tahun berturut-turut antara 2021 hingga 2023, selain juara dunia remaja 2019 dan pingat emas Sukan SEA 2019.

Sebagai rekod, Rifdean memulakan langkah dalam ONE Championship pada 22 Mac 2024 dengan penuh bergaya apabila hanya memerlukan 78 saat untuk menewaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai, menerusi kemenangan TKO.

Ringkasan AI

  • Mongkol yang dipakai petarung Indonesia Mohamad Redho mencuri tumpuan sebelum bertanding di ONE Friday Fights 138 di Bangkok
  • Hiasan kepala tersebut mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen
  • Rifdean Masdor memenangi pertarungan melawan Redho dengan knockout pada pusingan pertama
  • Kemenangan Rifdean membolehkannya membawa pulang bonus prestasi 350,000 baht
  • Rifdean memiliki rekod cemerlang termasuk tiga gelaran juara dunia bawah 23 tahun berturut-turut antara 2021 hingga 2023

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!