'Apa yang berlaku antara saya dan Salah kekal rahsia' - Slot

Salah sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan beliau seperti dianiaya di Liverpool.
Salah sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan beliau seperti dianiaya di Liverpool.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menegaskan bahawa sebarang perbualan antara beliau dan Mohamed Salah akan kekal sebagai rahsia apabila penyerang sensasi itu bersiap sedia untuk kembali menyertai skuad The Reds minggu depan.

Salah dijangka membuat penampilan semula pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Marseille, Rabu ini selepas tugasan antarabangsanya berakhir.

Impian Salah untuk memimpin Mesir menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) musnah apabila tewas 0-1 kepada Senegal hasil jaringan bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Sadio Mane.

Sebelum ini, Salah mencuri tumpuan media sebelum kempen AFCON bermula apabila dia seakan-akan bertelagah dengan Slot dan merasakan kelab telah menganiayanya, malah membayangkan masa depannya di Liverpool samar.

Bagaimanapun, selepas terlepas aksi Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, Salah kembali ke dalam pasukan dan menyumbang bantuan gol ketika kemenangan 2-0 ke atas Brighton.

Ketika ditanya mengenai kepulangan Salah, Slot enggan mengulas lanjut mengenai hubungan peribadi mereka.

"Apa yang berlaku antara saya dan Mo (Salah) sama ada menerusi telefon atau di sini kekal antara kami berdua.

"Saya tidak rasa perlu untuk berkongsi butiran perbualan peribadi yang saya ada dengan mana-mana pemain saya kepada umum.

"Minggu depan dia akan kembali. Kami sedang berhubung dengannya mengenai apa yang dijangkakan di sana dan di sini. Dia ada perlawanan penting pada Sabtu dan kemudian akan kembali bersama kami," katanya

Artikel Berkaitan:

Slot mengesahkan pertembungan menentang Marseille pada Khamis depan telah dikenal pasti sebagai tarikh kemungkinan besar Salah akan kembali beraksi.

Sementara itu, Liverpool bakal melayan kunjungan Burnley pada Sabtu dalam aksi Liga Perdana Inggeris. The Reds telah mencatat keputusan seri dalam tiga perlawanan liga terakhir dan kini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Arsenal serta lapan mata di belakang Aston Villa yang berada di tangga ketiga.

Slot mengakui situasi semasa pasukan agak mencabar terutamanya dalam memburu slot ke Eropah.

"Ia satu cabaran kerana kami belum berada di kedudukan ideal, terutamanya jika dibandingkan dengan prestasi selepas enam perlawanan awal.

"Tetapi kini kami bersaing untuk kedudukan keempat. Aston Villa mengharungi musim yang hebat. Masih banyak yang perlu diperjuangkan kerana kami tahu betapa pentingnya kelayakan Liga Juara-Juara untuk kelab ini, terutamanya dari sudut kewangan seperti yang terjadi beberapa tahun lalu apabila kami gagal layak.

"Kami sedar kepentingan itu, namun kami juga sedar liga ini semakin kompetitif. Selain liga, kami juga masih ada Piala FA dan Liga Juara-Juara untuk diperjuangkan," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pengendali Liverpool, Arne Slot menegaskan perbualan antara beliau dan Mohamed Salah akan kekal rahsia
  • Salah dijangka kembali bermain dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Marseille
  • Impian Salah memimpin Mesir menjuarai Piala Negara-Negara Afrika musnah tewas kepada Senegal
  • Salah kembali ke dalam pasukan Liverpool dan menyumbang bantuan gol selepas terlepas aksi Liga Juara-Juara
  • Slot mengakui situasi semasa Liverpool mencabar dalam memburu slot ke Eropah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!