Jersi RM97 juta, ini 10 barangan sukan termahal dunia yang pernah dijual

SANGGUPKAH anda membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk sehelai jersi atau barangan milik atlet sukan terkenal? Bagi jutawan dan pengumpul koleksi elit, sudah tentu mereka sanggup.
Barang-barang peninggalan legenda sukan kini dianggap sebagai aset 'emas' yang harganya mampu membuatkan kita ternganga.
Berikut disenaraikan 10 item sukan termahal yang pernah dijual dan kisah di sebalik setiap barangan tersebut.
1. Jersi 'Called Shot' Babe Ruth – AS$24.12 juta (RM97.87 juta)
Jersi ikonik milik legenda besbol Amerika Syarikat, Babe Ruth yang dikaitkan dengan momen kontroversi ‘Called Shot’ pada Siri Dunia 1932 mencipta rekod sebagai memorabilia sukan termahal dunia apabila dilelong pada harga AS$24.12 juta.

2. Jersi ‘Last Dance’ Michael Jordan – AS$10.1 juta (RM40.98 juta)
Jersi yang dipakai Michael Jordan dalam Perlawanan 1 Final NBA 1998 melonjak nilainya susulan populariti dokumentari The Last Dance sekali gus mencerminkan nilai sejarah musim terakhir Jordan bersama Chicago Bulls yang berakhir dengan kejuaraan keenam.

3. Jersi ‘Hand of God’ Maradona – AS$9.28 juta (RM37.65 juta)
Jersi yang dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol ‘Hand of God’ pada Piala Dunia 1986 menjadi simbol nasional Argentina dan kekal sebagai antara artifak bola sepak paling bernilai.

4. Manifesto Olimpik Asal – AS$8.8 juta (RM35.71 juta)
Manuskrip tulisan tangan Pierre de Coubertin yang menggariskan kebangkitan Sukan Olimpik moden dilelong pada harga tinggi selepas dianggap hilang selama puluhan tahun.

5. The Dynasty Collection – AS$8.032 juta (RM32.59 juta)
Koleksi unik enam kasut Air Jordan yang dipakai dan ditandatangani Michael Jordan dalam setiap perlawanan penentuan kejuaraan NBA miliknya dan diiktiraf sebagai lot kasut permainan paling mahal pernah dijual di pasaran lelongan.

6. Enam jersi Lionel Messi Piala Dunia 2022 – AS$7.8 juta (RM31.65 juta)
Enam helai jersi yang dipakai Lionel Messi dari peringkat kumpulan hingga final Piala Dunia 2022 mencerminkan kemuncak kerjayanya sekali gus menjadikan kejayaan Argentina menjulang trofi dunia sebagai detik sejarah bernilai tinggi.

7. Jersi NBA pertama Kobe Bryant – AS$7.004 juta (28.4 juta)
Jersi pertama Kobe Bryant dalam NBA, yang turut dipakai pada debut pramusim dan penampilan awalnya pada 1996 mencipta rekod baharu memorabilia Bryant apabila dilelong pada 2025.

8. Tali pinggang ‘Rumble in the Jungle’ Muhammad Ali – AS$6.18 juta (25.08 juta)
Tali pinggang kejuaraan heavyweight milik Muhammad Ali hasil kemenangan epik ke atas George Foreman menjadi artifak tinju termahal pernah dilelong.

9. Jersi Lakers Kobe Bryant musim MVP – AS$5.85 juta (23.74 juta)
Jersi yang dipakai Bryant sepanjang musim MVP 2007-08, termasuk dalam lebih 25 perlawanan dan dirakam dalam gambar ikonik sambutan playoff, menjadi antara jersi bola keranjang paling bernilai.

10. Jersi ‘road’ New York Yankees Babe Ruth – AS$5.64 juta (22.88 juta)
Sebuah lagi jersi Ruth dari era akhir 1920-an mencatat sejarah apabila dilelong pada 2019, menonjolkan betapa terhad dan bernilainya artifak legenda Yankees itu dengan hanya beberapa helai jersi tulen masih wujud di dunia.
Ringkasan AI
- Jersi 'Called Shot' Babe Ruth menjadi memorabilia sukan termahal dunia pada harga AS$24.12 juta
- Jersi 'Last Dance' Michael Jordan dijual pada AS$10.1 juta merakam nilai sejarahnya dalam bola keranjang
- Jersi 'Hand of God' Maradona, simbol kebanggaan Argentina, dihargai AS$9.28 juta
- Manifesto Olimpik Asal lelong pada AS$8.8 juta sebagai dokumen penting sejarah sukan
- Koleksi kasut Air Jordan, The Dynasty Collection, diiktiraf paling mahal dilelong pada AS$8.032 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
