[VIDEO] Ibu sebak lihat anak 'diangkut' naik ambulans

Paparan Twitter Intan Nurdiyana tular di laman sosial.
Paparan Twitter Intan Nurdiyana tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ibu berasa sebak tatkala melihat anak kesayangan terpaksa menaiki ambulans bagi menerima rawatan saringan wabak koronavirus (Covid-19) setelah mengalami simptom seperti demam.

Menerusi perkongsian videonya di Twitter, wanita dikenali Intan Nurdiyana, memberitahu, anaknya bernama Aisy belum disahkan positif Covid-19 namun perlu dirujuk ke hospital dan kemungkinan akan ditahan di wad untuk tujuan pemantauan.

Paparan rakaman video berkenaan menunjukkan Intan Nurdiyana hanya mampu melambai tangan kepada anaknya di halaman rumah sebelum si kecil berusia tiga tahun itu beredar ditemani si bapa.

"Ni video asal masa Aisy kena ambil dengan ambulans di rumah tadi. Selalu tengok orang lain je kat sosial media, sekali hari ini tengok anak dengan suami 'real' punya kena 'angkut' dengan ambulans dekat rumah tapi jangan bimbang semua, adik Aisy bukan positif Covid-19, dia cuma kena rujuk ke hospital sebab ada tanda," katanya.

Meskipun anaknya belum disahkan dijangkiti Covid-19, namun perkongsian video berdurasi 20 saat yang meruntun jiwa netizen itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk lebih peka kepada penularan wabak Covid-19 yang boleh berjangkit kepada sesiapa jua.

"Bayangkan salah seorang ahli keluarga anda akan dihantar ke hospital, diasingkan, dikuarantin kerana Covid-19.

"Anak-anak saya mungkin tidak dijangkiti sekarang tetapi siapa tahu pada masa akan datang, jika krisis ini masih belum berakhir. Jadi sila duduk di rumah," katanya tular di laman sosial.

Dalam perkembangan terkini, Intan Nurdiyana berkongsi berita gembira anaknya, Aisy dibenarkan keluar dari hospital.

Artikel Berkaitan:

"Aisy dah boleh keluar. Keputusan ujian Covid-19 tak pasti tapi kalau doktor bagi balik tu mesti sebab negatif.

"Keputusan kami sekeluarga belum keluar lagi tapi harap semua baik dan tidak terima panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Terima kasih semua yang prihatin," katanya.

Sementara itu, video yang menarik perhatian ramai itu telah ditonton lebih 239,000 tontonan.