[VIDEO] Ibu tunggal bangun seawal 3 pagi kupas jagung untuk sara anak

Maria sebak menceritakan keperitannya membesarkan tiga orang anak.
Maria sebak menceritakan keperitannya membesarkan tiga orang anak.
A
A
A

MELAKA - Seorang ibu tunggal yang juga mualaf berdepan kesukaran menyara tiga anaknya yang masih kecil dengan hanya mengambil upah mengupas biji jagung.

Maria Abdullah, 41, yang sebelum ini tinggal di Angkasa Nuri berkata, kehidupannya berubah setelah suaminya merupakan warganegara Bangladesh telah ditahan dan dihantar pulang ke negara itu pada September tahun lalu.

Menurutnya, sejak ketiadaan suami, ada kalanya dia terpaksa alas perut dengan hanya minum kopi untuk memastikan wang upah tersebut dapat membeli susu dan makanan anak-anaknya berusia lapan, enam dan satu tahun sembilan bulan.

Katanya, dalam tempoh itu juga, dia yang meraih pendapatan sekitar RM200 hingga RM700 sebulan terpaksa berpindah randah disebabkan tidak mampu menjelaskan tunggakan sewa rumah sebelum dibawa pindah oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) ke Rumah Pangsa Taman Merdeka pada Ahad lalu.

"Yang penting saya tak nak bagi anak susah dan lapar, dapat duit jagung saya mesti beli susu anak dan makanan mereka.

"Saya tak makan pun tak apa janji anak-anak ada makanan dan kebiasaan jam 3 pagi atau 4 pagi saya akan bangun kupas jagung hingga ke petang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, pada Selasa.

Dia yang memeluk Islam pada Februari 2016, berkata, lebih memilukan keluarga masih belum dapat menerima dirinya dan anak-anak.

Maria (tiga,kiri) menerima sumbangan yang disampaikan Ganesan (lima dari kiri) dan Ashwad (enam dari kiri) di Rumah Pangsa Taman Merdeka di Melaka pada Selasa.
Maria (tiga,kiri) menerima sumbangan yang disampaikan Ganesan (lima dari kiri) dan Ashwad (enam dari kiri) di Rumah Pangsa Taman Merdeka di Melaka pada Selasa.

Tambahnya, kerana kesempitan hidup juga dia tidak dapat mendaftarkan anak sulungnya Rojina bersekolah di tahun dua seperti kanak-kanak lain.

Jelasnya, meskipun telah berpindah ke rumah baharu, namun apa yang merungsingkan bekalan jagung sukar dihantar memandangkan rumah berkenaan terletak di tingkat dua.

"Saya risau tak dapat kerja lagi, sebab tak ada yang mahu hantar bekalan jagung dan harap sangat MAIM pertimbangkan saya pindah di tingkat bawah.

"Lagipun nak kupas biji jagung terpaksa hentak di lantai, jadi bimbang mengganggu jiran-jiran di tingkat bawah," katanya yang bersyukur kisahnya turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin.

Sementara itu, Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka yang diketuainya Presidennya, Ashwad Abdul Rahim bersama seorang usahawan, K Ganesan terpanggil untuk membantu meringankan beban keluarga itu.

Ashwad berkata, pihaknya bersama Ganesan sepakat untuk membayarkan wang pengangkutan anak-anak Maria ke sekolah bagi memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran.

"Kita akan bantu seperti membayar kos pengangkutan ke sekolah kerana Maria tidak memiliki kenderaan untuk hantar anak-anak ke sekolah.

"Dalam masa sama memantau keluarga ini supaya terus mendapat pembelaan," katanya.

Dalam pertemuan itu pihak berkenaan turut menyampaikan barangan keperluan termasuk makanan dan wang tunai kepada Maria.

End#