Pas desak tindakan tegas terhadap penganjur hidang arak dalam majlis kerajaan
Cetuskan sensitiviti umat Islam, bahkan bercanggah Perlembagaan Persekutuan

KOTA BHARU - Pas Kelantan mendesak tindakan tegas diambil terhadap penganjur majlis makan malam oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya susulan dakwaan hidangan arak tanpa had dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel resort di ibu negara pada 2 Oktober lalu.
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan boleh mencetuskan sensitiviti umat Islam, bahkan bercanggah dengan prinsip Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, penularan isu berkenaan yang tular di media sosial beberapa hari selepas majlis itu menunjukkan bagaimana pihak penganjur seolah-olah berbangga dengan penyediaan arak tanpa had dalam program rasmi kerajaan.
“Menormalisasikan arak dalam masyarakat, apatah lagi dihidang dalam majlis rasmi kerajaan, adalah perbuatan biadab serta bercanggah dengan moral dan etika.
“Hal ini bukan sahaja menjatuhkan imej pentadbiran Kerajaan Madani, tetapi turut memperlihatkan kelonggaran pengurusan dalam memastikan program rasmi kerajaan menghormati sensitiviti rakyat pelbagai agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Mohd Asri, penyediaan arak juga bercanggah dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menegaskan amaran kesihatan terhadap minuman beralkohol.
Katanya, walaupun garis panduan itu berkaitan penjualan, mesej kesihatan yang dibawa jelas menunjukkan arak tidak wajar dijadikan budaya dalam mana-mana majlis, apatah lagi program rasmi kerajaan yang turut melibatkan kehadiran orang Islam.
Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian terbabit tampil memberikan penjelasan dan memohon maaf atas ketelanjuran yang berlaku.
“Pihak kerajaan perlu melihat perkara ini sebagai suatu kesalahan besar yang perlu diambil tindakan sewajarnya agar tidak berulang,” katanya.
Ringkasan AI
- Pas Kelantan mendesak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Majlis Makan Malam Gala kerana hidangan arak tanpa had
- Hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan mencetuskan sensitiviti umat Islam dan bercanggah dengan prinsip Islam
- Penyediaan arak tanpa had dianggap perbuatan biadab dan bercanggah dengan moral serta etika
- Tindakan tersebut menjatuhkan imej Kerajaan Madani dan menunjukkan kelonggaran pengurusan dalam memastikan program rasmi menghormati sensitiviti rakyat pelbagai agama
- Pas Kelantan menggesa kementerian memberikan penjelasan dan memohon maaf atas ketelanjuran yang berlaku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

