Keutamaan kerajaan mencari solusi terbaik merungkai kesukaran rakyat

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Keutamaan kerajaan kini ialah mencari solusi terbaik bagi merungkaikan kesukaran rakyat yang kini sedang bergelut dengan kesusahan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) berjumlah RM250 bilion bertujuan membantu meringankan beban rakyat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Menjadi tanggungjawab kepada rakan-rakan di pihak pembangkang untuk memberikan kerjasama dan sokongan kepada kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dan tidak mempolitikkan setiap usaha yang dilakukan kerajaan," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, sementara bagi memastikan pakej rangsangan ini mencapai objektifnya beberapa penambahbaikan perlu menjadi pertimbangan kerajaan.

"Antaranya, kaedah dan mekanisme agihan serta penyaluran bantuan setiap kementerian dan agensi terlibat perlu jelas dan terperinci bagi memudahkan rakyat berurusan,"

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, pengkalan data yang dimiliki kerajaan berkaitan dengan penerima layak dan kategorinya perlu dipastikan benar-benar tepat dan terkini.

"Ini kerana jumlah penerima amat besar berbanding pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini menerusi pemberian Bantuan Rakyat IMalaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup," katanya.

Beliau berharap rintangan birokrasi juga dapat dikurangkan ketika permohonan supaya masyarakat dapat menerima bantuan yang disalurkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap rakyat bertenang dan tabah menghadapi dugaan ini dan berdoa semoga pandemik Covid-19 ini akan berakhir dengan segera. Kepada ALLAH kita berserah," katanya.