Pas Johor sedia sertai Musyawarah Nasional

JOHOR BAHRU – Pas Johor menyatakan kesediaan untuk menyertai Musyawarah Nasional selagi ia ke arah usaha penyatuan umat Melayu Islam di negara ini.
Menurut Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Pas menyambut baik usaha berkenaan tanpa mengira pihak mana yang menganjurkannya.
“Isu utama bukanlah siapa yang menganjurkan Musyawarah Nasional, sebaliknya matlamat dan tujuan penganjuran itu sendiri.
“Bagaimanapun, kena tengok dulu apa tujuan Musyawarah Nasional itu. Kalau tujuannya untuk penyatuan ummah Melayu Islam, Pas menyambut baik cadangan itu.

“Adalah lebik baik kita hidupkan semula benda yang sedia ada iaitu Muafakat Nasional (MN).
"Dengan penyatuan tiga parti terbesar Melayu iaitu Pas, UMNO dan Bersatu bersama parti-parti lain yang tidak ekstrem, insya-ALLAH Malaysia akan lebih stabil, aman serta sejahtera,” katanya kepada Sinar Harian.
Mahfodz berkata demikian ketika mengulas cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 baru-baru ini.
Sementara itu Mahfodz berkata, pihaknya melihat Musyawarah Nasional sebagai satu pendekatan terbaik sekiranya ada pihak yang benar-benar berhasrat menyatukan umat Melayu Islam melalui platform berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa jika Musyawarah Nasional hanya disertai oleh satu pihak sahaja, ia tidak akan mampu memberi kekuatan sebenar kepada matlamatnya.
“Sebelum ini ada cadangan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), ia merupakan langkah yang sangat baik.
“Sekarang muncul pula idea baharu daripada (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid untuk menganjurkan Musyawarah Nasional dan tujuannya juga sama.
“Jadi, kami menyokong dan menghargai sebarang niat yang ikhlas bagi menyatukan umat Melayu Islam di negara ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Pas Johor sedia untuk menyertai Musyawarah Nasional yang mempunyai tujuan menyatukan umat Melayu Islam
- Pas menyambut baik usaha penyatuan umat Melayu Islam tanpa mengira pihak penganjur
- Pas menyarankan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional sebagai langkah penyatuan
- Cadangan Musyawarah Nasional dilihat sebagai pendekatan terbaik untuk penyatuan umat Melayu Islam jika dilaksanakan dengan ikhlas
- Pesuruhjaya Pas Johor memberi respons terhadap cadangan Presiden UMNO untuk menganjurkan Musyawarah Nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
