Saravanan tetap hadir PAU 2025 walau MIC pertimbang masuk PN

Saravanan (empat dari kiri) tetap menghadiri PAU) 2025 pada Jumaat, walaupun parti itu dilaporkan sedang mempertimbangkan kedudukan serta hala tuju mereka dalam BN - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Saravanan (empat dari kiri) tetap menghadiri PAU) 2025 pada Jumaat, walaupun parti itu dilaporkan sedang mempertimbangkan kedudukan serta hala tuju mereka dalam BN - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan tetap menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pada Jumaat, walaupun parti itu dilaporkan sedang mempertimbangkan kedudukan serta hala tuju mereka dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah tiba di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini kira-kira jam 9 pagi dan sempat beramah mesra dengan beberapa pemimpin UMNO sebelum memasuki dewan perhimpunan.

Saravanan yang juga bekas Menteri Sumber Manusia pada 14 Disember lalu berkata, MIC akan kekal dalam komponen BN sehingga satu keputusan muktamad dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Menurutnya, kepemimpinan tertinggi parti berkenaan akan bersidang dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju politik MIC, termasuk spekulasi mengenai kemungkinan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga keputusan dibuat oleh Majlis Tertinggi MIC, kami masih kekal bersama BN,” katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, tiada pertemuan diadakan antara BN dan MIC selepas parti tersebut mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 yang meluluskan usul untuk keluar daripada gabungan berkenaan.

Ahmad Zahid ketika itu turut mengingatkan parti komponen dalam BN agar berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah dimeterai sejak sekian lama.

Spekulasi bahawa MIC akan menjalin kerjasama dengan PN tercetus apabila parti itu menerima ‘risikan’ daripada pemimpin Pas untuk menyertai gabungan pembangkang berkenaan.

Ia susulan usul yang dibawa oleh perwakilan MIC untuk keluar daripada BN kerana merasakan mereka dipinggirkan dalam Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2025 walaupun MIC mempertimbangkan kedudukan dalam BN
  • Beliau tiba di Pusat Dagangan Dunia untuk menyertai perhimpunan dan berinteraksi dengan pemimpin UMNO
  • MIC akan kekal dalam BN sehingga Majlis Tertinggi MIC membuat keputusan muktamad
  • Kepemimpinan tertinggi MIC akan bersidang untuk membincangkan hala tuju politik termasuk kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional
  • Spekulasi kerjasama MIC dengan PN muncul setelah usul keluar dari BN diluluskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!