Malaysia, AS teroka kerjasama teknologi pertanian moden

PUTRAJAYA - Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berpotensi memperluas kerjasama strategik dalam teknologi pertanian dan pembangunan agromakanan.
Perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan delegasi AS diketuai Under Secretary for Trade and Foreign Agricultural Affairs dari Jabatan Pertanian AS (USDA), Luke Lindberg pada Rabu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan perbincangan kedua-dua pihak menumpukan kepada potensi peluasan perdagangan pertanian dua hala serta pemerkasaan kerjasama teknikal dan pelaburan bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian.
"Antara bidang diberi penekanan termasuk penggunaan mekanisasi dan automasi, teknologi digital, pembangunan pertanian pintar, penambahbaikan varieti benih serta penerapan teknologi Internet of Things (IoT)," menurut kenyataan KPKM.
KPKM turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Jabatan Pertanian AS (USDA) dalam usaha memodenkan pengeluaran jagung bijirin bagi kegunaan makanan ternakan, di samping memperkukuh keupayaan pengeluaran sektor agromakanan negara melalui penerapan teknologi moden.
KPKM memaklumkan mesyuarat itu turut membincangkan lawatan kerja pegawai KPKM ke AS yang melibatkan penyertaan wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian dari 17 hingga 24 Jan ini.
Menurut KPKM, lawatan itu bertujuan mempertingkat kerjasama kedua-dua negara dalam aspek sanitari dan fitosanitari.
KPKM memaklumkan hasil perdagangan pertanian Malaysia dan AS mencecah RM14.68 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, sekali gus mencerminkan peranan AS sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global.
Kunjungan hormat delegasi AS pada Rabu bersempena misi perdagangan AS ke Malaysia dari 14 hingga 15 Januari, yang turut dihadiri Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKM,Datuk Seri Isham Ishak; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Seri Norazman Ayob dan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia dan Amerika Syarikat berunding untuk memperluas kerjasama dalam teknologi pertanian dan pembangunan agromakanan
- Perbincangan meliputi potensi peluasan perdagangan pertanian dua hala dan pembangunan sektor pertanian melalui teknologi
- Bidang penekanan termasuk penggunaan mekanisasi, automasi, teknologi digital, dan Internet of Things
- Hasrat bersama untuk memodenkan pengeluaran jagung bijirin dan memperkukuh pengeluaran sektor agromakanan melalui teknologi moden
- Perdagangan pertanian antara Malaysia dan AS mencapai RM14.68 bilion, menegaskan peranan AS sebagai rakan strategik penting
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
