​'Hegemoni AS, Israel mesti dihentikan segera'

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Malaysia digesa mengambil pendirian lebih tegas dalam membantah tindakan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang disifatkan sebagai satu bentuk penindasan terbuka.

​Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, serangan terbaharu itu mengesahkan tiga perkara utama, antaranya taktik tipu daya AS yang kini tidak lagi boleh dipercayai.

​Menurut beliau, ini merupakan kali kedua dalam tempoh setahun AS menyerang Iran di saat rundingan sedang dijalankan, selain tindakan kuasa besar itu yang kerap mengubah sasaran rundingan.

​"AS terus mengubah fokus daripada isu tenaga nuklear kepada peluru berpandu balistik, dan akhirnya kepada agenda pertukaran rejim di Iran.

​"Serangan hari ini membuktikan AS sedang melaksanakan niat jahat Israel untuk menghancurkan Iran, sama seperti yang telah dilakukan terhadap Iraq, Libya dan Syria sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

​Mengulas lanjut mengenai situasi semasa, Raja Bahrin menyifatkan dunia kini seolah-olah mengamalkan 'undang-undang rimba' apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diketepikan dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak lagi dihormati.

​"Dalam sejarah moden, tidak pernah ada negara yang begitu kejam dan mengabaikan undang-undang antarabangsa sepenuhnya seperti yang berlaku di Gaza, Tebing Barat, Venezuela dan Cuba.

​"Dunia seolah-olah tidak berdaya. Terlalu banyak sikap memandang sebelah mata terhadap pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang membawa kita ke tahap sekarang," ujarnya.

​Tambah beliau, pencerobohan itu turut mencatatkan tragedi menyayat hati apabila sebuah sekolah di Minab, selatan Iran dibom pada hari pertama serangan.

Artikel Berkaitan:

​Laporan Palang Merah Antarabangsa mengesahkan lebih 80 pelajar perempuan terkorban dalam insiden itu, yang menurutnya mempunyai persamaan dengan corak serangan Israel di Gaza.

​"Dengan berita kematian Ayatollah Khamenei serta penculikan Presiden Venezuela oleh AS baru-baru ini, ia memberi isyarat bahawa semua pemimpin dunia seolah-olah perlu mendapat 'restu' AS untuk mengelakkan pertukaran rejim," katanya lagi.

​Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk memperkukuh gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) serta meluaskan boikot terhadap semua produk AS selain daripada jenama sedia ada.

​"Jika pendirian tegas tidak diambil, ketidaktentuan dunia akan terus meruncing sehingga membawa kepada keadaan anarki yang tidak terkawal," tegasnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Malaysia digesa membantah tindakan AS dan Israel terhadap Iran
  • Serangan AS terhadap Iran disifatkan sebagai taktik tipu daya
  • AS berubah fokus dalam rundingan dari isu nuklear ke peluru berpandu dan agenda pertukaran rejim
  • Dunia dianggap seperti mengamalkan 'undang-undang rimba' dengan PBB dan ICJ diketepikan
  • Raja Bahrin menyeru rakyat Malaysia memperkukuh gerakan BDS dan meluaskan boikot terhadap produk AS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!