Malaysia, Kazakhstan kukuh kerjasama pertanian, keterjaminan makanan

Mohamad (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Integrasi Republik Kazakhstan, Arman Shakkaliyev pada 17 September lepas. Foto KPKM
Mohamad (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Integrasi Republik Kazakhstan, Arman Shakkaliyev pada 17 September lepas. Foto KPKM
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Kazakhstan menzahirkan komitmen memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian, keterjaminan makanan dan teknologi pertanian moden.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan perkara itu dizahirkan semasa kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu oleh Menteri Perdagangan dan Integrasi Republik Kazakhstan, Arman Shakkaliyev di sini, 17 September.

Kunjungan hormat itu sebahagian daripada siri lawatan Arman ke Malaysia sempena penyertaan beliau dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.

"Pertemuan itu turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang agromakanan serta memperluas kolaborasi dalam teknologi pertanian termasuk peluang penyelidikan dan pembangunan antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan institusi penyelidikan di Kazakhstan.

"Malaysia dan Kazakhstan turut melihat potensi besar dalam sektor pengeluaran pertanian melalui pelaburan bersama bagi menangani isu sekuriti makanan global.

"Kunjungan ini juga dijangka dapat meneroka pembukaan akses pasaran bagi produk pertanian Malaysia ke Kazakhstan seperti produk komposit berasaskan susu atau telur serta durian,” menurut kenyataan itu.

Pada pertemuan itu, Mohamad menjemput Arman dan Kazakhstan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 bagi menggalakkan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Pada 2024, nilai perdagangan dua hala sektor pertanian antara Malaysia dan Kazakhstan mencecah RM201.42 juta.

Daripada jumlah itu, eksport Malaysia direkodkan pada RM200.98 juta merangkumi produk utama seperti kopi, koko, teh, rempah ratus serta produk makanan berasaskan pembuatan sementara import dari Kazakhstan ke negara ini terdiri daripada pelbagai produk makanan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Kazakhstan komited memperkukuh kerjasama sektor pertanian dan teknologi pertanian moden
  • Menteri Perdagangan dan Integrasi Kazakhstan, Arman Shakkaliyev melakukan kunjungan hormat ke Malaysia
  • Kunjungan ini bertepatan dengan penyertaan Arman dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025
  • Perbincangan terfokus pada kerjasama agromakanan dan pembangunan teknologi pertanian bersama MARDI
  • Malaysia dan Kazakhstan eksplor peluang perdagangan dua hala termasuk akses pasaran untuk produk pertanian Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!