Suami isteri dipercayai dibunuh, anak temui mayat dalam keadaan tragis

SRI AMAN - [KEMAS KINI] Pasangan suami isteri ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis oleh anak mereka sendiri di sebuah rumah di kawasan taman perumahan di sini pada Rabu.
Menurut maklumat yang tular, mangsa merupakan seorang guru manakala isterinya bertugas sebagai jururawat.
Mayat kedua-duanya ditemui di dalam bilik tidur oleh anak mereka yang sedang bersiap ke sekolah pada waktu pagi.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa tersebut.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius pada bahagian tubuh pada jam 6.55 pagi.
"Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Pemeriksaan awal mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa, iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun dan isterinya berumur 44 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengumpul bukti serta keterangan saksi sedang giat dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Kalang di talian 019-331 7785 atau pusat kawalan daerah IPD Sri Aman atau balai polis berdekatan.
Sementara itu, Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam hantarannya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga guru besar di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu, cikgu Andy Roy Anak Junran yang telah meninggal dunia pada Rabu.
"Jabatan ini kehilangan seorang pemimpin sekolah yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasan dan amanah dalam meningkatkan serta memartabatkan pendidikan negara.
"Semoga mendiang bersemadi dengan aman dan keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan dan ketabahan. Semoga dipermudahkan semua urusan," tulis hantaran itu.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di dalam rumah mereka di Sri Aman
- Mangsa merupakan seorang guru dan isterinya jururawat
- Anak mereka menemui mayat kedua-duanya ketika bersiap ke sekolah
- Kematian dikaitkan dengan kemungkinan kejadian bunuh
- Penemuan mayat disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman, kenyataan rasmi dari Pesuruhjaya Polis Sarawak akan dikeluarkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
