Suami, isteri maut dibunuh: Atuk tekad jaga tiga cucu

SRI AMAN – Bapa kepada mangsa wanita yang ditemukan meninggal dunia bersama suaminya dalam kejadian tragis di sebuah kediaman di Taman Mutiara, Jalan Brayun, di sini memaklumkan akan mengambil alih tanggungjawab menjaga tiga anak mendiang yang juga cucunya.
Dalam masa sama, Kibin Jaya, 68, meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
“Biarlah pihak polis menyiasat, biar mereka lihat apakah bukti-bukti atau sebabnya.
“Buat masa ini, saya minta jangan buat apa-apa spekulasi. Kita tunggu keputusan siasatan penuh pihak polis,” katanya ketika dipetik menerusi laporan Suara Sarawak, pada Rabu.
Menurutnya, pihak keluarga enggan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut kerana bimbang ia boleh mengganggu siasatan memandangkan kes tersebut melibatkan kematian serius.
"Kita takut untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana dibimbangi menganggu siasatan memandangkan kes ini melibatkan kematian yang agak serius," katanya ketika dipetik menerusi laporan Suara Sarawak, pada Rabu.
Kibin turut memaklumkan bahawa beliau kerap berkunjung ke kediaman anak dan menantunya itu, namun tidak menyedari sebarang perubahan tingkah laku pasangan berkenaan sebelum kejadian berlaku.
“Ada berjumpa, memang saya selalu ke sini (kediaman mangsa) dan masing-masing tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.
Sebelum itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, mengesahkan seorang lelaki berusia 45 tahun dan isterinya berusia 44 tahun ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka pada awal pagi Rabu.
Kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan kecederaan serius dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, mangsa lelaki, Andy Roy Anak Junran, merupakan guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebangki, manakala isterinya, Angelin Kibin, bertugas sebagai jururawat di Hospital Sri Aman.
Pasangan itu meninggalkan tiga orang anak, masing-masing berusia sembilan, 16 dan 17 tahun.
Ringkasan AI
- Keluarga pasangan suami isteri yang ditemukan meninggal meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tentang kejadian
- Keluarga berikan kepercayaan penuh kepada polis untuk siasatan
- Pasangan itu ditemukan dengan kesan kecederaan serius dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Keluarga tidak menyedari sebarang perubahan tingkah laku pasangan tersebut sebelum kejadian
- Bapa kepada mangsa wanita akan mengambil alih tanggungjawab menjaga ketiga-tiga anak mendiang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
