Mayat remaja lemas ditemukan 5km dari lokasi kejadian

ROMPIN – Seorang remaja lelaki yang dikhuatiri hilang di Pantai Tanjung Pahang, Teluk Gading, di sini ditemukan lemas pada hari kedua Operasi Mencari dan Menyelamat (OP SAR), pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Nur Afzuar Abdullah, 16, dari Felda Keratong 3, ditemukan penduduk kampung berhampiran Jeti Jalan Melati, Kampung Sarang Tiong, Teluk Gading kira-kira jam 9.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, lokasi penemuan mayat itu terletak kira-kira lima kilometer (km) dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam pada Ahad.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Keratong 3, Bandar Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.01 petang pada 22 November lalu sebelum anggota Balai Polis Tanjung Gemok bergegas ke lokasi.
"Hasil pemeriksaan mendapati kejadian itu melibatkan dua mangsa, termasuk seorang lelaki berusia 39 tahun yang berjaya diselamatkan orang awam, manakala seorang lagi mangsa tenggelam," katanya.
Sharif Shai menambah, operasi pencarian itu membabitkan seramai 38 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPM W3), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perikanan.
"Sebanyak tujuh bot dan sebuah unit dron turut digunakan bagi membantu operasi pencarian yang berlangsung selama dua hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

