Lirik berunsur lucah: Antara batasan dan tanggungjawab?

Penyanyi tempatan mengundang kontroversi dengan muat naik video menyanyi lagu berunsur lucah. Gambar hiasan
Penyanyi tempatan mengundang kontroversi dengan muat naik video menyanyi lagu berunsur lucah. Gambar hiasan
A
A
A

PENULIS tiba-tiba berasa 'pening' bukan kerana menghirup spanish latte sambil 'ketuk' berita perkembangan dunia politik, tetapi 'sakit' melihat satu video pendek yang tiba-tiba lalu di laman TikTok.

Seorang penyanyi tempatan cantik dan bersuara lunak, namun sering dihambat kontroversi memuat naik video menyanyikan lagu terbaharunya dilancarkan kira-kira sebulan lalu.

Teringat pula status Facebook Public Health Malaysia (PHM) yang menyuarakan kebimbangan segelintir masyarakat mengenai lirik lagu berunsur lucah dan sarat dengan maksud tersirat atau 'double meaning'. Oh, itu penyanyinya!

Lagu tersebut menjadi bualan ramai lantaran liriknya seolah-olah menormalisasikan 'soft porn', berpotensi mempengaruhi pemikiran pendengar ke arah negatif.

Tidak dinafikan bait lirik genre dangdut sering kedengaran menggoda dan provokatif, malah pendekatan ini digunakan sejak era 90-an lagi sebagai strategi komersial menarik perhatian pendengar.

Bagaimanapun, kebimbangan utama ketika ini adalah golongan kanak-kanak yang juga pengguna aktif media sosial turut dihidangkan dengan lagu sebegini hingga menjadi siulan.

Sekali lagi, penulis teringat satu artikel pada 2019 mengenai penyanyi tersebut yang katanya sanggup menolak tawaran bekerjasama dengan komposer Indonesia kerana enggan menyanyikan lagu berunsur lucah.

Ketika itu, dia memegang teguh prinsip untuk tidak sesekali mendendangkan lagu mengandungi lirik kurang senonoh, walaupun perkara tersebut membuatkannya terlepas peluang berkolaborasi dengan komposer hebat.

Jelasnya, meskipun menyanyikan lagu dangdut, dia tetap dengan pendirian untuk tidak tampil terlalu seksi di pentas.

Artikel Berkaitan:

Timbul satu tanda tanya, apa jadi dengan pendiriannya kini. Adakah faktor tuntutan kerja dan keperluan kekal relevan dalam industri muzik menukar prinsip penyanyi ini?

Menelusuri pandangan beberapa 'orang lama' serta penggiat seni muzik tanah air susulan heboh isu tersebut, mereka menekankan lagu direkodkan hari ini akan kekal dan terus didengari generasi masa hadapan.

Kata mereka, ia hendaklah dihasilkan dengan penuh tata susila dan menghormati sensitiviti pendengar.

Mereka turut menekankan bahawa konteks budaya Melayu-Islam di negara ini perlu menjadi panduan asas dalam mencipta muzik yang boleh diterima umum.

Justeru, tindakan lebih tegas serta bersifat jangka panjang perlu dilaksanakan bagi mengelakkan lirik lagu berunsur lucah ini terus dinormalisasikan, di samping tidak menggunakan alasan kebebasan berekspresi dalam seni untuk menghalalkan perbuatan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan pada 1 Januari lalu menegaskan semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada Februari 2015.

Bagi Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, fenomena lirik lagu tidak senonoh semakin dinormalisasikan apabila kepentingan komersial mengatasi pertimbangan moral dan etika.

Beliau menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap penghasilan dan penyebaran lagu berunsur lucah.

Jika karya seni terus bergerak tanpa batas nilai, siapa pula yang bertanggungjawab terhadap minda generasi akan datang?

*Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!