KPM kaji pelaksanaan semula UPSR, PT3

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji pelaksanaan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa dengan sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu peperiksaan masih menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan masyarakat dan kerajaan mengambil maklum kebimbangan serta pandangan tersebut.
“Tadi saya juga sebut tentang bagaimana kita akan mengkaji semula soal peperiksaan itu kerana itu yang masih lagi menjadi permintaan ibu bapa,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kajian berkenaan akan dilaksanakan oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diaktifkan semula pada tahun ini.
"Apa sahaja peperiksaan yang disebut (UPSR, PT3) ataupun yang berada dalam polemik masyarakat itu, nanti Dr Mohd Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) akan memberikan pandangan perincian dan ahli-ahli majlis penasihat akan membincangkan perkara tersebut,” jelas Fadhlina.
UPSR dimansuhkan pada 2021 ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19, manakala PT3 dibatalkan tahun sama, sebelum dimansuh sepenuhnya pada 2022 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Selepas tiga tahun, timbul desakan daripada pelbagai pihak agar KPM mengembalikan semua peperiksaan berkenaan, Antara yang konsisten menyuarakan sokongan untuk mengembalikan UPSR dan PT3 adalah Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad,
Beliau menyifatkan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sejak tujuh tahun berlalu tidak berjaya seperti yang diharapkan. Malah katanya, sejak ia dilaksanakan, tiada sebarang rasmi peringkat kebangsaan dibuat mengenai keberkesanan PBD.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini mendedahkan pemansuhan UPSR telah menyebabkan penurunan drastik pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM MRSM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

