Lebih baik perkukuh PBS - NUTP

UPSR dan PT3 bukan ‘ubat ajaib’ menyelesaikan isu murid-murid tidak minat belajar sebagaimana tohmahan sesetengah pihak. Gambar kecil: Aminuddin
UPSR dan PT3 bukan ‘ubat ajaib’ menyelesaikan isu murid-murid tidak minat belajar sebagaimana tohmahan sesetengah pihak. Gambar kecil: Aminuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan agar Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkukuhkan berbanding mengembalikan semula pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, PBS yang dilaksana kini masih baru dan dalam proses pemantapan serta masih berstatus belum masak sepenuhnya selepas menggantikan peperiksaan berkenaan beberapa tahun lalu.

“Lantaran itu hasilnya belum dapat dilihat. Sekiranya ada permasalahan atau kekurangan dalam PBS, tambah baik saja, bukan merombak lagi sistem mengikut selera mereka yang bukan pakar sebenar.

“Pendidikan terkini tidak lagi mengukur sejauh mana seseorang mengingati buku teks atau nota pelajaran tetapi lebih kepada sejauh mana seseorang itu berinovasi dan berinteraksi secara matang, berhenti mengukur kecemerlangan melalui slip peperiksaan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan sistem penilaian berisiko tinggi seperti UPSR dan PT3 tidak lagi sesuai pada masa kini kerana ia memberi tekanan kepada murid, guru dan ibu bapa.

Tambahnya lagi, keputusan daripada kedua-dua peperiksaan itu menjadi pelabelan serta stigma yang tidak perlu dan seterusnya akan dijadikan fokus utama berbanding aktiviti-aktiviti membina sahsiah, kreativiti dan kokurikulum.

“UPSR dan PT3 akan hadir bersama pakej tekanan yang mana guru akan dipaksa untuk membuat kelas tambahan siang malam, anak-anak akan dipaksa hadir kelas-kelas tuisyen, sekolah secara tidak langsung akan dirankingkan berdasarkan pencapaian peperiksaan itu.

“Zaman telah berubah dan cabaran persekitaran kita juga memerlukan persediaan versi baharu, UPSR dan PT3 pada zamannya telah berjaya melahirkan generasi kita yang sesuai dengan era sekarang tetapi jika diteruskan, ia tidak sesuai untuk melengkapkan generasi yang akan keluar dalam sistem dunia untuk 15 atau 20 tahun akan datang,” katanya.

Jelas Aminuddin, UPSR dan PT3 bukan ‘ubat ajaib’ menyelesaikan isu murid-murid tidak minat belajar sebagaimana tohmahan sesetengah pihak.

Artikel Berkaitan:

“Mantapkan PBS kerana ia menilai perkembangan murid secara berterusan dan menyeluruh. Jangan hanya kerana kita melihat anak-anak kita tidak berminat belajar, kita salahkan sistem kerana tiada UPSR dan PT3,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • NUTP mencadangkan mengukuhkan PBS berbanding menghidupkan semula UPSR dan PT3
  • PBS masih baru dan dalam proses pemantapan, menggantikan peperiksaan terdahulu
  • Sistem penilaian UPSR dan PT3 dianggap tidak lagi sesuai kerana memberi tekanan
  • UPSR dan PT3 membawa pelabelan negatif kepada pelajar dan menekankan pencapaian akademik semata-mata
  • Mantapkan PBS untuk menilai perkembangan pelajar secara menyeluruh dan berterusan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!