[VIDEO] Kes pelajar UniSZA maut: Pemandu Honda Jazz diperintah jalani pemeriksaan mental
KUALA TERENGGANU – Mahkamah Majistret di sini pada Isnin memerintahkan pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan di sini menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh, Mohd Izuddin Zakaria, 32, didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh dihukum dibawah Seksyen dan Akta yang sama.
Permohonan menjalani pemeriksaan mental itu dikemukakan pihak pendakwa dibawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah serta memaklumkan bahawa tertuduh sedang mengambil ubat psikotropik.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Syakirah Hanan Mazli, 25, di lampu isyarat Jalan Kemajuan di sini kira-kira jam 1.55 tengah hari pada 5 Januari lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan
Selain diarah menjalani pemeriksaan mental, mahkamah memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin, semua kelas lesen memandu dimiliki tertuduh digantung sehingga kes itu selesai dibicarakan.

Mahkamah menetapkan tarikh 12 Februari depan bagi sebutan semula kes berkenaan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli, manakala tertuduh diwakili peguam Ummi Sharmimi Harun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sebelum ini, media melaporkan Perodua Viva dipandu Syakirah Hanan dirempuh Honda Jazz dipandu seorang lelaki ketika mangsa membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk menguruskan permit mengajar di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) manakala tertuduh dalam perjalanan daripada Jalan Kemajuan untuk pulang ke rumahnya.
Ringkasan AI
- Pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut akan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai
- Perintah pemeriksaan mental dikeluarkan susulan pertuduhan memandu berbahaya yang menyebabkan kematian pelajar UniSZA
- Tertuduh sedang menjalani rawatan dan mengambil ubat psikotropik
- Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000
- Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai dibicarakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
