Doktor pakar jantung mengaku tidak bersalah langgar PKP

Tertuduh (kemeja putih) dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk dituduh pagi tadi.
Tertuduh (kemeja putih) dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk dituduh pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang doktor pakar jantung mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dua minggu lalu.

Tertuduh, Dr Ong Hean Teik membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap di Mahkamah Majistret Georgetown di sini tadi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berusia 61 tahun itu didakwa dengan sukarela menghalang seorang penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan di dalam kawasan Taman Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Persiaran Kuari pada jam 6 petang, 19 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum dua tahun penjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hean Teik didakwa bergerak dari kediamannya di Jalan Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Persiaran Kuari yang mana lokasi tersebut merupakan dalam kawasan jangkitan.

Dia didakwa ke kawasan itu bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Oleh itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM8,000 untuk pertuduhan pertama selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan wang jaminan RM5,000 terhadap tertuduh dan perbicaraan kes pada 9 Jun depan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan dan tertuduh diwakili peguam, Bala Mahesan.