Beri alasan sibuk, biar kucing dalam sangkar dipenuhi najis

Tangkap layar video pengabaian kucing yang dikongsi sebuah NGO.
Tangkap layar video pengabaian kucing yang dikongsi sebuah NGO.
A
A
A

SEREMBAN –Bukan saja membiarkan beberapa ekor kucing dikurung dalam sangkar yang dipenuhi dengan najis, malah pemiliknya di Seremban 2 di sini turut didakwa membiarkan haiwan tersebut tanpa makanan dan minuman yang bersih.

Perkara itu didedahkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), stray free.foundation menerusi beberapa video yang dikongsi di akaun Thread mereka pada Jumaat.

Berdasarkan video yang dikongsi, kawasan luar rumah yang menempatkan sangkar kucing terbabit turut dilihat dalam keadaan kotor dan tidak terurus apabila dipenuhi sampah.

Menerusi video tersebut, NGO berkenaan mempersoalkan tindakan pemilik membiarkan haiwan itu dalam keadaan begitu.

Seorang wanita tanpa wajahnya didedahkan memaklumkan, bahawa kesemua kucing terbabit berada di bawah jagaan suaminya yang ketika itu tiada di rumah kerana keluar minum.

Apabila ditanya lanjut kenapa sangkar dan kawasan tersebut tidak dibersihkan, wanita itu memberi alasan dia tidak mempunyai masa kerana sibuk bekerja.

Perkongsian NGO itu menimbulkan pelbagai reaksi warganet yang meninggalkan komen mengecam tindakan pemilik yang disifatkan tidak perikemanusiaan selain bersimpati dengan nasib kucing-kucing berkenaan.

Bagaimanapun, pihak NGO memaklumkan kesemua kucing tersebut telah pun diselamatkan dan kini berada di bawah jagaan mereka.

Pihaknya juga telah pun membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan(JPVNS) untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Pengarah JVPNS, Dr Nurul Ain Ahmad mengesahkan menerima aduan berhubung perkara itu dan kini sedang menjalankan siasatan, sebelum laporan penuh dikeluarkan Isnin depan.

Ringkasan AI

  • Beberapa ekor kucing dikurung dalam sangkar penuh najis di Seremban 2 tanpa makanan dan minuman bersih
  • Video oleh stray free.foundation mendedahkan keadaan sangkar dan kawasan rumah yang kotor dan tidak terurus
  • Wanita pemilik kucing mengaku tidak ada masa membersihkan kerana sibuk bekerja
  • Netizen marah dan simpati dengan kucing tersebut berdasarkan perkongsian NGO
  • Kucing-kucing telah diselamatkan oleh NGO dan laporan dibuat kepada JPVNS untuk tindakan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!