Kes salah guna dana MINDEF: Seorang pegawai kanan ATM dalam siasatan SPRM

KUALA LUMPUR – Siasatan berkaitan dakwaan salah guna dana Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka merungkai pembabitan seorang pegawai pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut sumber, individu berkenaan kini berada dalam siasatan SPRM dan kes tersebut sudah berada di peringkat akhir.
“Pegawai terbabit sedang disiasat dan kertas siasatan hampir dilengkapkan. Cadangan pertuduhan dijangka akan dikemukakan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut mengesahkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan ATM berkaitan kes tersebut.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung siasatan yang dijalankan, selain memaklumkan bahawa proses siasatan kini telah berada di fasa akhir.
Azam menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan salah guna dana awam tidak boleh dipandang ringan dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya wujud unsur kesalahan.
Menurutnya, sebaik sahaja kertas siasatan lengkap dan cadangan pertuduhan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, pendakwaan akan dibuat sekiranya mendapat persetujuan.
Tambah beliau, siasatan akan dimulakan terhadap individu utama terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada pihak-pihak berkaitan.
Dalam masa sama, beliau menggesa semua pihak supaya memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Siasatan ini dijalankan bagi memastikan sebarang salah guna kuasa dan dana awam ditangani secara berlandaskan undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” tegasnya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa SPRM mendapati terdapat aktiviti rasuah secara terancang dalam kalangan pegawai tentera.
Sumber memaklumkan bahawa siasatan juga mengesan beberapa pegawai tentera lain yang dipercayai memainkan peranan penting dalam kes berkenaan.
SPRM kini memberi tumpuan terhadap siasatan kewujudan rangkaian kartel rasuah berkaitan tender dan perolehan dalam MINDEF.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, selepas permohonan dibuat oleh SPRM.
Ezrene turut mengeluarkan perintah reman selama tiga hari dan enam hari masing-masing terhadap isteri pertama dan kedua bekas pegawai tinggi tersebut.
Pada Selasa, media melaporkan bahawa seramai 17 pengarah syarikat turut direman selama lima hari bagi membantu siasatan sama.
Menurut SPRM, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20-an hingga 60-an, yang ditahan antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam Isnin, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
SPRM turut mengesahkan bahawa Jeneral tersebut sebelum ini dijadualkan memberi keterangan pada 28 Disember 2024, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
SPRM juga telah hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek berkaitan perolehan Tentera Darat sejak 2023.
Pada 29 Disember, Azam memaklumkan bahawa SPRM telah menyita enam akaun bank milik pegawai terbabit dan ahli keluarganya sebagai sebahagian daripada siasatan.
Dua hari sebelumnya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan bahawa Tan Sri Muhammad Hafizuddeain telah diberi arahan bercuti serta-merta sehingga siasatan selesai.
Ringkasan AI
- Siasatan SPRM berkaitan salah guna dana Kementerian Pertahanan merungkai pembabitan pegawai pengurusan tertinggi ATM
- Individu terbabit dalam siasatan dan di peringkat akhir kertas siasatan
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan ATM
- Cadangan pertuduhan akan dikemukakan dalam masa terdekat dan dibawa ke mahkamah jika disetujui Peguam Negara
- SPRM memberi tumpuan pada dakwaan kewujudan rangkaian rasuah dalam agensi tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

