Sindiket guna nama MyBayar PDRM perdaya orang ramai

Sindiket penipuan dikesan menggunakan nama MyBayar PDRM bagi memperdaya orang ramai. Gambar hiasan
Sindiket penipuan dikesan menggunakan nama MyBayar PDRM bagi memperdaya orang ramai. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan dikesan menggunakan nama MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menghantar mesej palsu berkaitan tunggakan bayaran tol atau kesalahan trafik bagi memperdaya orang ramai.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memaklumkan, mesej berkenaan mengandungi pautan yang membawa ke laman web menyerupai laman rasmi Polis Diraja Malaysia sebelum meminta mangsa menekan butang 'Pay Now'.

Menurut JSPT, modus operandi sindiket itu melibatkan permintaan supaya mangsa memasukkan maklumat peribadi dan perbankan, yang kemudiannya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak klik pautan berkenaan dan tidak memasukkan sebarang maklumat perbankan.

"PDRM atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan menghantar notis bayaran melalui pautan rawak atau aplikasi WhatsApp,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya pada Rabu.

JSPT berkata, sebarang maklumat berkaitan saman atau bayaran hanya boleh disahkan melalui laman web rasmi atau kaunter kerajaan.

Tambahnya, aduan berkaitan penipuan boleh disalurkan kepada PDRM atau CCID Scam Response Center untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sindiket penipuan menggunakan nama MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghantar mesej palsu
  • Mesej tersebut meminta mangsa untuk menekan butang 'Pay Now' di sebuah laman web yang menyerupai laman rasmi PDRM
  • Sindiket meminta maklumat peribadi dan perbankan yang kemudiannya disalahgunakan
  • Orang ramai dinasihatkan tidak klik pautan dalam mesej tersebut dan tidak memasukkan maklumat perbankan
  • Maklumat berkaitan saman atau bayaran hanya sah melalui laman web rasmi atau kaunter kerajaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!