Polis tumpas sindiket penipuan guna umpan seks, jualan murah

Dzulkhairi menunjukkan gambar sebahagian ahli kumpulan sindiket itu yang berjaya dicekup dalam Op Merpati.
Dzulkhairi menunjukkan gambar sebahagian ahli kumpulan sindiket itu yang berjaya dicekup dalam Op Merpati.
A
A
A

MELAKA - Helah menawarkan khidmat seks tidak wujud dan jualan barangan pada harga murah yang digunakan sindiket penipuan antarabangsa terbongkar selepas polis menyerbu tiga premis dalam satu operasi khas, baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan menerusi Op Merpati yang dijalankan Selasa dan Rabu lalu membawa kepada penahanan 19 individu iaitu seorang lelaki tempatan dan 18 warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 21 hingga 60 tahun dipercayai berperanan sebagai operator pusat panggilan yang beroperasi dari kediaman sewa sekitar bandar ini.

"Dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Perak, polis menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang dipercayai mempromosikan iklan telefon bimbit, motosikal dan kereta menerusi media sosial dengan tawaran harga murah.

"Mangsa diarahkan membuat bayaran pendahuluan ke akaun bank di Indonesia sebelum semua komunikasi dengan sindiket diputuskan sebaik sahaja wang diterima," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini pada Isnin.

Dzulkhairi (kanan) menunjukkan antara barang rampasan dalam operasi itu yang keseluruhan berjumlah lebih RM575,000.
Dzulkhairi (kanan) menunjukkan antara barang rampasan dalam operasi itu yang keseluruhan berjumlah lebih RM575,000.

Dzulkhairi berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah banglo mewah di Ayer Keroh yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama tujuh warga asing termasuk dua wanita Filipina dan lima lelaki warga China.

“Modus operandi kumpulan ini ialah memperdaya mangsa melalui aplikasi Telegram dengan tawaran khidmat seks, namun selepas bayaran dimasukkan, nombor telefon mangsa segera disekat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hasil risikan lanjut membawa kepada penahanan empat lagi lelaki warga China di sebuah rumah di Banda Hilir yang dipercayai turut terbabit dalam sindiket berkenaan.

Ujarnya, siasatan mendapati setiap ahli sindiket menerima bayaran bulanan antara AS$1,500 hingga AS$2,300 (RM6,300 hingga RM9,700) sebagai ganjaran.

Katanya, sepanjang operasi itu, polis juga merampas wang tunai pelbagai mata wang, komputer, telefon bimbit serta tiga kereta mewah dengan nilai keseluruhan mencecah lebih RM575,000.

“Semua suspek kini direman 14 hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!