Malaysia berpotensi jadi negara pertama Westminster had tempoh jawatan PM - Bersih

SHAH ALAM – Cadangan kerajaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menjadi satu lonjakan dalam amalan demokrasi berasaskan sistem Westminster dan wajar disokong semua pihak termasuk pembangkang.
Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Faisal Abdul Aziz berkata, langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hasrat kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) had tempoh jawatan tersebut bakal meletakkan Malaysia sebagai perintis dalam kalangan negara yang mengamalkan sistem berkenaan.
"Dengan kewujudan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, ia mengukuhkan kembali akauntabiliti Perdana Menteri dan Kabinet kepada Parlimen yang turut menjadi teras kepada sistem Westminster.
"Dari sudut ini, Malaysia boleh menjadi contoh dalam kalangan negara Westminster," katanya menerusi hantaran di Threads pada Isnin.
Sebelum ini Anwar memaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.
Faisal Abdul Aziz berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
Dalam pada itu Faisal menjelaskan, had tempoh jawatan Perdana Menteri juga mampu mengurangkan risiko penyelewengan dan salah guna kuasa apabila pemusatan kuasa dapat dielakkan secara berperingkat.
"Apabila tempoh untuk menjadi PM dihadkan, seseorang yang dilantik ke jawatan itu akan berusaha melaksanakan program dan dasar dengan lebih cekap.
"Lebih penting, membuka ruang kepada pemimpin politik muda untuk ke hadapan dan secara tidak langsung, ia memupuk politik yang lebih sihat kerana persaingan akan terbuka kepada pemimpin baharu untuk diketengahkan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Cadangan kerajaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan langkah demokrasi berasaskan sistem Westminster
- Langkah ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentukan Malaysia sebagai perintis dalam sistem tersebut
- Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 akan mengukuhkan akauntabiliti Perdana Menteri dan Kabinet
- RUU had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun sebagai bahagian dari langkah reformasi institusi
- Had tempoh ini diharapkan dapat mengurangkan penyelewengan, meningkatkan kecekapan, dan membuka ruang kepada pemimpin muda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

