Cadangan had tempoh jawatan PM satu langkah berani, bertanggungjawab - Wanita PKR

Gambar kecil: Ginie Lim (atas) dan Chan Foong Hin.
Gambar kecil: Ginie Lim (atas) dan Chan Foong Hin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal adalah langkah berani dan bertanggungjawab ke arah membentuk budaya politik baharu yang telus, progresif serta demokratik demi kemajuan Malaysia.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim berkata, ini menunjukkan tekad politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyegerakan pelaksanaan janji reformasi, setelah puluhan tahun berjuang di medan pembangkang, selain membuktikan kesungguhan beliau melakukan perubahan semasa memegang kuasa dan bukan selepas kehilangan kuasa.

"Dalam tempoh tiga tahun kepimpinan Anwar, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kestabilan politik, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

"Wanita PKR yakin, dengan pelaksanaan reformasi institusi yang berterusan, rakyat akan terus menikmati manfaat daripada kekayaan negara yang semakin meningkat,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kepimpinan Anwar juga wajar terus disokong bagi penggal seterusnya bagi memastikan agenda reformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh sekali gus membersihkan negara daripada kebejatan dan budaya rasuah demi kebajikan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.

"Sehubungan itu, Wanita PKR menyatakan sokongan penuh kepada usaha Perdana Menteri untuk terus memimpin dan memperkukuh jentera kerajaan agar lebih mantap, berkesan dan berintegriti dalam melaksanakan dasar fiskal serta ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Dasar DAP, Datuk Chan Foong Hin turut menyambut baik komitmen Perdana Menteri untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sekali gus mencerminkan agenda reformasi yang termaktub dalam Tawaran Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, reformasi Perlembagaan yang penting itu berfungsi sebagai benteng bagi mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan dan memperkukuh akauntabiliti demokrasi di peringkat tertinggi kepimpinan negara.

Selain itu, Foong Hin berkata, cadangan reformasi institusi yang diumumkan Perdana Menteri termasuk pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan Institusi Ombudsman mencerminkan kesungguhan untuk membina semula keyakinan awam selain memastikan tadbir urus Malaysia dilaksanakan dengan berintegriti, penuh akauntabiliti dan berlandaskan kerangka institusi demokratik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun ini, Kerajaan Madani telah melaksanakan rundingan yang intensif, libat urus merentas kementerian serta semakan menyeluruh pertengahan penggal bagi memastikan reformasi disusun mengikut keutamaan, didorong kesepakatan dan dilaksanakan dengan berkesan.

"Reformasi tidak terjadi dalam sekelip mata. Ia memerlukan kesabaran, kestabilan dan kecekalan dalam meneruskan perjuangan.

"Setelah tiga tahun membina semula keyakinan, memulihkan fungsi institusi dan meletakkan asas yang kukuh, Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengorak langkah dengan penuh keyakinan dan hala tuju yang jelas," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Foong Hin juga berkata, DAP kekal komited terhadap agenda reformasi itu dan beliau menyeru semua Ahli Parlimen serta pemegang taruh untuk mengetepikan perbezaan kepartian serta bekerjasama bagi memastikan reformasi dilaksana dengan berkesan, jujur dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta masa depan negara. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri di Malaysia kepada maksimum 10 tahun merupakan langkah reformasi yang bertujuan membentuk budaya politik baru yang lebih telus dan demokratik
  • Ketua Penerangan Wanita PKR menyanjung tekad politik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam meneruskan janji reformasi semasa memegang kuasa
  • Dalam tiga tahun kepimpinan Anwar, Kerajaan Perpaduan dikatakan telah menstabilkan politik negara, memacu ekonomi, dan menjaga kebajikan rakyat
  • Pelaksanaan reformasi institusi berterusan diharapkan akan meningkatkan manfaat kepada rakyat dari kekayaan negara yang bertambah
  • Pengarah Dasar DAP menyambut baik komitmen Anwar terhadap reformasi Perlembagaan dan institusi, yang dianggap penting untuk menghindari penumpuan kuasa serta meningkatkan akauntabiliti demokrasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!