Jel 10 tahun guru GISBH tekan dada, rotan murid dikurangkan lima tahun

Muhammad Barur (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang pada 2024 lalu.
Muhammad Barur (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang pada 2024 lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Seorang bekas guru yang dihukum penjara 10 tahun kerana menekan dada murid menggunakan lutut dan merotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, mengurangkan hukuman itu kepada lima tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian daripada rayuan pembelaan yang mewakili Muhammad Barur Rahim Hisam, 25.

Rayuan berkenaan membabitkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Klang, pada 26 September 2024.

Ketika membaca keputusan sebulat suara, Azman berkata, mahkamah mengekalkan bon berkelakuan baik selama lima tahun namun mengurangkan kadar cagaran daripada RM40,000 kepada RM12,000 iaitu masing-masing RM3,000 bagi setiap kes.

“Bagi tiga kes merotan, hukuman penjara diturunkan kepada masing-masing satu tahun sementara satu lagi pertuduhan, menekan dada murid menjadi dua tahun.

“Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan supaya hukuman pemenjaraan itu berjalan secara berasingan,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.

Beliau berkata, empat pertuduhan yang dihadapi Muhammad Barur Rahim di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini didapati selamat.

Hakim berkata, pengakuan bersalah lelaki itu selaku perayu, semasa pertuduhan dibaca di Mahkamah Sesyen dua tahun lalu, tidak memprejudiskannya.

Azman berkata, ini kerana perayu memahami sifat serta akibat pengakuan salah yang telah diterangkan oleh pihak mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Semasa hujahan, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

“Mahkamah perlu mengambil kira tindakannya menekan lutut di tubuh seorang kanak-kanak, menyebabkan berlaku koyakan di dada mangsa.

“Ini juga mengakibatkan trauma kepada semua mangsa memandangkan ketika kejadian mereka hanya berusia 10 dan 11 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Najib Zakaria yang mewakili perayu menghujahkan bahawa ketika di mahkamah rendah, anak guamnya membuat pengakuan bersalah atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun, pengakuan itu tidak sah kerana dia tidak diwakili peguam atau sekurang-kurangnya dibantu oleh pihak Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Menurutnya, anak guam yang telah menjalani hukuman selama 17 bulan di Penjara Kajang juga wajar diberi pengurangan tempoh pemenjaraan memandangkan pengakuan awalnya telah menjimatkan masa mahkamah.

“Dia dihukum penjara selama 10 tahun malah tempoh pemenjaraan berjalan secara berasingan dilihat amat keterlaluan.

“Kami mohon mahkamah dapat mengurangkannya kepada tempoh yang lebih singkat,” katanya yang hadir bersama peguam, Dorina Abdullah dan Boestamam Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Barur Rahim didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun telah menganiaya dengan merotan semua mangsa, sehingga mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan menekan dada menggunakan lutut, yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah sekolah rendah agama, di Bandar Bukit Raja di sini.

Semua kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 26 September 2024, Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Noridah Adam menjatuhkan tertuduh hukuman penjara selama 10 tahun.

Sabitan bersalah dan hukuman itu dikekalkan Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim pada 2 Jun 2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru GISBH rotan murid kerana buang sampah

Guru GISBH tekan dada guna lutut, rotan tiga murid dijel 10 tahun

Ringkasan AI

  • Seorang bekas guru dihukum penjara kerana menekan dada murid dengan lutut dan merotan tiga kanak-kanak
  • Mahkamah Rayuan Putrajaya kurangkan hukuman kepada lima tahun
  • Cagaran dikurangkan dari RM10,000 kepada RM3,000
  • Perbuatan itu dilakukan antara Jun, Julai dan September 2024 di dua premis termasuk sekolah agama
  • Tertuduh boleh dihukum maksimum 20 tahun penjara dan denda hingga RM50,000 jika sabit kesalahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!