Jadilah seperti Amirrulmukminin, pergi tetapi terus menghidupkan

Mohd Zain (kanan) menunjukkan gambar arwah Amirrulmukminin semasa ditemui di rumah mereka di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumbuh, Kota Bharu pada Selasa.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Zain (kanan) menunjukkan gambar arwah Amirrulmukminin semasa ditemui di rumah mereka di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumbuh, Kota Bharu pada Selasa.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

SEBELUM ini, mungkin tidak ramai mengenali anak muda dikenali sebagai Amirrulmukminin Mohd Zain.

Bagaimanapun, peribahasa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama tepat menggambarkan kisah anak muda berkenaan yang meninggalkan jejak bermakna buat masyarakat.

Selepas kematiannya, tindakan arwah menderma organ mencuri perhatian ramai apabila tular sebuah video berdurasi satu minit 12 saat yang memaparkan warga Hospital Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZKT) berbaris panjang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah beliau.

Rakaman ringkas itu cukup kuat menyampaikan mesej bahawa pengorbanan Amirrulmukminin bukan sekadar keputusan peribadi, sebaliknya satu sumbangan besar kepada insan lain yang memerlukan.

Keputusan Amirrulmukminin untuk mendaftar sebagai penderma organ ketika hayatnya masih ada mencerminkan tahap kesedaran sosial yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

Hasrat itu disambut dengan penuh reda oleh keluarganya yang melihat derma organ sebagai satu amalan kebajikan berpanjangan dan diharapkan menjadi saham akhirat buat arwah.

Bapanya, Mohd Zain Daud, 64, memaklumkan, dia reda dan mengikut hasrat anak ketujuh dari lapan adik beradik untuk mendermakan semua organ, sekali gus berharap ia jadi saham akhirat buat anak lelakinya.

Menurutnya, Amirrulmukminin, 27, meninggal dunia setelah mengalami mati otak apabila motosikal ditungganginya terbabas dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Kemaman, Terengganu, 25 Disember lalu.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan anak ketujuh daripada lapan beradik berkenaan menerima rawatan di Hospital Kemaman sebelum menghembuskan nafas terakhir Jumaat lalu seterusnya menjalani operasi pendermaan organ pada Sabtu di HSNZKT.

Artikel Berkaitan:

Hanya bahagian mata, tulang dan buah pinggang Amirrulmukminin yang sesuai untuk didermakan, malah buah pinggangnya sudah mempunyai penerima yang sedang menanti.

Selain Amirrulmukminin, kita juga pernah dengan kisah wira-wira lain seperti bekas penyelia jururawat, Allahyarham Sulinah Gilong, 59, yang memberi kehidupan baharu apabila mendermakan organnya kepada lima pesakit lain di Sabah.

Langkah Allahyarham Amirrulmukminin, Sulinah dan penderma organ menderma organ terbabit wajar dipuji kerana ia memberi harapan baharu kepada pesakit yang menunggu peluang untuk meneruskan kehidupan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, Malaysia merekodkan kadar pendermaan organ yang masih rendah iaitu hanya 1.33 penderma bagi setiap sejuta penduduk pada 2024.

Beliau menjelaskan, kadar itu jauh lebih rendah berbanding Turkiye dengan 7.5 penderma per sejuta, Amerika Syarikat (36.19 penderma per sejuta) dan Sepanyol (52 penderma per sejuta).

Tambah Dr Dzulkefly, antara faktor utama kadar pendermaan organ rendah ialah keengganan waris memberi kebenaran walaupun individu itu pernah berikrar sebagai penderma.

Dalam suasana kekurangan penderma, tindakan penderma organ membuktikan bahawa kesedaran dan keberanian membuat pilihan mampu memberi kesan besar kepada masyarakat.

Bagaimanapun, hasrat murni seperti derma organ perlu dimaklumkan lebih awal kepada keluarga kerana perbincangan dan kefahaman bersama dapat memudahkan urusan ketika saat genting, sekali gus memastikan niat baik penderma dapat direalisasikan.

Kisah wira tidak didendang seperti Amirrulmukminin dan Sulinah bukan sahaja menyentuh emosi, malah mengangkat nilai kemanusiaan yang wajar dicontohi.

Ia menjadi peringatan bahawa legasi kebaikan boleh ditinggalkan walaupun selepas tiada, asalkan disertai kesedaran, kewajaran dan komunikasi yang jelas bersama keluarga.

Ringkasan AI

  • Amirrulmukminin Mohd Zain meninggalkan jejak bermakna dengan menderma organ setelah kematiannya
  • Keputusan menerima penuh reda oleh keluarganya, melihatnya sebagai amalan kebajikan
  • Meninggal dunia akibat kemalangan motosikal, buah pinggangnya sudah mempunyai penerima
  • Malaysia mencatat kadar pendermaan organ rendah berbanding negara lain
  • Kisah ini mengangkat nilai kemanusiaan dan pentingnya kesedaran dan komunikasi dalam soal pendermaan organ

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!