Aktiviti tidak bermoral dalam kem tentera ancam keselamatan
SHAH ALAM - Perbuatan berfoya-foya, minum arak dan kemaksiatan seperti zina bukan sahaja bercanggah dengan agama dan tidak sesuai dengan budaya, malah dikhuatiri akan mengancam keselamatan negara jika aktiviti tidak bermoral itu berlaku dalam kem tentera.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, sebagai perajurit negara, ketakwaan kepada ALLAH merupakan asas yang sangat penting dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau yang juga penceramah selebriti menjelaskan, perkara yang melalaikan akan menyebabkan ‘orang’ hilang fokus terhadap kerja sekali gus mendorong mereka melakukan tindakan yang salah di sisi undang-undang.
“Pertama sekali kita kena faham bahawa ketenteraan merupakan sebahagian daripada kekuatan semua negara. Jadi dakwaan terhadap isu membawa benda-benda yang tidak sepatutnya dalam kem ataupun apa saja yang melibatkan ketenteraan adalah satu perkara yang tidak wajar dan bercanggah dengan asas Malaysia Madani .
“Arak, judi dan zina jelas-jelas haram di sisi agama dan ia boleh menyebabkan manusia lupa diri dan ALLAH.
“Jadi Islam minta untuk sentiasa bermuhasabah kerana individu-individu ini merupakan orang penting dalam mempertahankan negara.Bagaimana kita nak menghadapi musuh sedangkan diri sendiri menjadi musuh kepada ALLAH SWT,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah kem tentera dan tular di media sosial.
Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, siasatan itu bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
Dakwaan yang tersebar tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
Tambah Mohd Izhar Ariff lagi, perbuatan tidak bermoral itu juga tidak seiring dengan konsep Kerajaan Madani yang berpegang teguh dengan pemerintahan Nabi Muhamad SAW.
“Jadi kalau kita buat maksiat, itu bukan konsep pemerintahan Nabi di Madinah. Sebenarnya Madani itu ialah kita nak jadikan Malaysia sebagai negara yang berkonsepkan pentadbiran Madinah Al-Munawarah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW.
“Dari segi tatakelola, akhlak, hidup bermasyarakat dan membangunkan insani. Jadi tiba-tiba kita buat benda macam ini, ia satu lambang yang tidak bagus,” ujarnya.
Beliau turut mengharapkan agar MINDEF melakukan siasatan secara telus dan terperinci selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Jadi saya setuju apabila pihak MINDEF telah mengarahkan siasatan. Saya harap ia dilakukan dengan telus supaya siapa yang terlibat, tidak kira berpangkat besar atau kecil, dikenakan tindakan.
“Ini kerana ia tidak wajar berlaku di Malaysia khususnya dalam pentadbiran Kerajaan Madani,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

