'Saya diugut, diancam malah ditawar wang jutaan ringgit' - Chegubard

KUALA LUMPUR – “Saya diugut, saya diancam, malah saya ditawarkan sehingga ke tahap jutaan ringgit.”
Itu pendedahan aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard berhubung cabaran dan tekanan hebat yang didakwa dihadapinya ketika mendedahkan isu rasuah serta salah guna kuasa membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, ugutan dan tawaran lumayan itu bagaimanapun tidak sedikit pun menggoyahkan pendiriannya kerana beliau berpegang teguh kepada sumpah yang pernah dilafazkan kepada Allahyarham bapanya.
Katanya, Selasa merupakan ulang tahun ketiga pemergian bapanya, Shaharin Sharif, yang menjadi titik tolak kepada perjuangan yang sedang digerakkan hari ini.
“Saya bersumpah di hadapan arwah bapa saya ketika saya memegang tangannya selama 20 hingga 30 minit sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Badrul Hisham berkata, pada saat itu beliau berjanji kepada arwah bapanya bahawa dirinya ‘diwakafkan’ sepenuhnya untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
“Segala yang saya lakukan, insya-ALLAH adalah ibadah dan amal. Semua ini menjadi peneman untuknya di sana. Lillahi ta‘ala.
“Kami orang miskin. Bapa saya bekerja memanjat tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala ibu saya pula seorang pencuci di hospital,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ATM termasuk anggota yang sedang bertugas, para pegawai serta veteran tentera yang tanpa henti menyalurkan sokongan dan maklumat berkaitan isu yang didedahkannya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota tentera, pegawai dan veteran yang menghantar sokongan serta pelbagai maklumat.
“Saya memberi jaminan bahawa tiada sesiapa pun akan mengetahui identiti sumber. Walau digantung terbalik sekalipun, saya tidak akan mendedahkan siapa sumber tersebut,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, pendedahan yang dibuat bukan bersifat peribadi sebaliknya lahir daripada keprihatinan terhadap nasib anggota bawahan dan veteran ATM yang didakwanya terhimpit dengan tekanan hidup.
“Ia menjadi lebih pedih apabila kita menziarahi rumah-rumah veteran dan keluarga anggota tentera yang hidup dalam keadaan sangat terhimpit dan bergelut dengan tekanan hidup.
“Mereka berdepan pelbagai cabaran tugas, keluar bertugas, pulang seketika untuk makan dan melihat anak-anak, kemudian keluar bertugas semula,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu amat bertentangan dengan apa yang didakwanya berlaku di peringkat atasan apabila terdapat pihak tertentu yang hidup mewah dan menyalahgunakan kedudukan.
“Dalam masa yang sama, ada pihak di atas yang sedang berseronok menyakau, menjual kedudukan dan menggunakan pelbagai cara demi kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau menegaskan akan terus bersuara dan mendedahkan sebarang salah laku demi menjaga kebajikan anggota ATM serta memelihara maruah institusi pertahanan negara.
Ringkasan AI
- Chegubard mengalami ugutan dan tawaran jutaan ringgit ketika mendedahkan isu rasuah ATM
- Berdasarkan sumpah kepada arwah bapanya, dia berdedikasi untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan
- Latar belakang keluarga miskin; bapa bekerja di TNB dan ibu sebagai pencuci di hospital
- Menerima sokongan dan maklumat dari warga ATM termasuk anggota bertugas, pegawai, dan veteran
- Terus bersuara demi menjaga kebajikan anggota ATM dan memelihara maruah institusi pertahanan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
